Rabu, 11 Mac 2009

Babi hutan takut rambut manusia

Kaedah bagi cegah haiwan musnah tanaman

TAWAU: Percayakah anda jika dikatakan rambut manusia boleh dijadikan bahan untuk menghalau babi hutan. Jika difikir sejenak, memang pelik dan tidak masuk akal kerana tidak disokong bukti saintifik.

Bagaimanapun, teori itu dibuktikan pengurus ladang sawit di Pulau Sebatik, Mohd Nuin Rusni, yang menggunakan rambut manusia untuk mencegah haiwan itu daripada memusnahkan anak sawit di bawah penyeliaannya.

Pengurus Ladang Kampung Sungai Laba itu mendakwa kaedah menabur rambut manusia berhampiran anak sawit, berjaya mencegahnya daripada dimusnahkan babi hutan yang gemar memakan anak sawit.

"Sebelum ini, jika kami tanam 300 anak sawit hari ini, keesokannya kita akan dapati semua pokok berkenaan musnah digali dan dimakan babi hutan.

"Bagaimanapun, selepas menabur rambut manusia berhampiran pokok sawit, anak pokok tidak dimusnahkan babi hutan. Kejayaan yang dicatatkan ialah 95 peratus," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pulau itu baru-baru ini.

Mohd Nuin berkata, kaedah menggunakan rambut manusia untuk melindungi anak sawit dipelajarinya melalui pengalaman ketika bertugas di sebuah ladang sawit di Sandakan sebelum ini.

"Segenggam rambut manusia ditabur berhampiran pokok sawit. Apabila babi terhidu bau manusia daripada rambut atau tersedut rambut berkenaan melalui hidungnya, babi akan lari," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk mengumpulkan 200 guni rambut dari kedai gunting di Tawau dengan setiap guni dibeli pada harga RM5. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan