Sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Abdul Khalid bin Ibrahim, Datuk Menteri Besar Selangor telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada hari Rabu, 25 Februari 2009 dan menyembah kepada Baginda perkembangan hal ehwal pentadbiran Negeri Selangor serta isu yang melibatkan Yang Berhormat Elizabeth Wong Keat Ping, ADUN Bukit Lanjan yang juga EXCO Kerajaan Negeri Selangor.
Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan Baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan Negeri Selangor amnya. Baginda turut merasa dukacita dan amat bimbang kerana sejak akhir-akhir ini perbuatan menceroboh hak peribadi dan 'privacy' individu telah dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang. Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai.
Kepada Yang Berhormat Elizabeth Wong, Baginda melahirkan rasa sedih dan simpati di atas insiden yang telah berlaku dan berharap agar beliau dapat bertenang, sabar dan menguatkan semangat untuk menghadapi dugaan ini dan meneruskan kehidupan seharian beliau.
Datuk Haji Mohamad Munir bin Bani
Datuk Lela Bakti Setiausaha Sulit kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan