LONDON: Satu kajian mendapati penggunaan sejenis bahan kimia dalam produk seperti bekas plastik minuman dan botol bayi, mempunyai kaitan dengan kemunculan masalah kesihatan terutama penyakit jantung dan diabetes.
Sehingga kini, aktivis alam sekitar dan pengguna yang mempersoalkan keselamatan bisphenol A atau BPA bergantung kepada kajian yang menunjukkan akibat pendedahan itu dalam ujian terhadap haiwan makmal.
Bagaimanapun sekumpulan penyelidik Britain yang menyiarkan penemuan mereka dalam Journal of the American Medical Association menganalisis sampel kencing dan darah daripada 1,455 orang dewasa Amerika Syarikat berusia 18 hingga 74 yang mewakili kependudukan umum.
Dengan menggunakan data kesihatan kerajaan mereka mendapati bahawa penduduk dengan paras bisphenol A yang tinggi dalam badan mereka dua kali ganda lebih berisiko mendapat penyakit jantung atau diabetes berbanding yang memiliki kadar rendah bahan kimia terbabit.
“Kebanyakan penemuan diperoleh daripada apa yang kita temui dalam model haiwan,” kata Iain Lang, seorang penyelidik dari University of Exeter di Britain yang menjalankan kajian, pada satu sidang media.
“Ini adalah kajian pertama pernah diadakan dalam model manusia,” kata Lang.
Steven Hentges dari Majlis Kimia Amerika syarikat, sebuah syarikat industri kimia berkata bentuk kajian tidak membenarkan sesiapa untuk menyimpulkan bahawa BPA menyebabkan penyakit jantung dan diabetes.
“Sekurang-kurangnya daripada kajian ini kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan bahawa bisphenol A menjadi punca sebarang masalah kesihatan. Seperti dinyatakan penulis, kajian lanjut diperlukan untuk memahami sama ada ia mempunyai kaitan dengan semua kesihatan manusia,” kata Hentges. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan