Khamis, 7 Ogos 2008

Reptilia purba jadi 'bapa' pada usia 111 tahun

WELLINGTON 6 Ogos - Seekor reptilia purba New Zealand yang didakwa keturunan terakhir dinosaur akan menjadi bapa buat kali pertama sejak berdekad lalu pada usia 111 tahun.

Kurator Tuatara, Lindsay Hazley menjelaskan, perkongsian hidup antara Henry the Tuatara dan pasangannya, Mildred yang berusia antara 70 dan 80 tahun, menghasilkan 12 biji telur pada pertengahan bulan lalu selepas mula mengawan awal tahun ini di Muzium Southland di South Island.

Tuatara adalah reptilia berbentuk cicak yang merupakan spesies keturunan dinosaur yang wujud di bumi 225 juta tahun dulu.


Henry telah dibela di kawasan khas di Muzium Southland sejak tahun 1970 namun tidak menunjukkan sebarang minat terhadap seks sehinggalah kanser di organ pembiakannya di buang beberapa tahun lalu.

Menurut Hazley, Henry kini ditemani tiga tuatara betina dan mungkin akan mengawan lagi pada Mac depan.

"Bagi binatang ini, asmara mungkin mengambil masa bertahun-tahun jadi kami perlu bersabar," ujarnya lagi.

Walaupun Henry tidak pernah mengawan semasa di dalam kurungan, tidak dapat dipastikan sama ada dia pernah berbuat demikian semasa hidup di luar kerana tuatara jantan biasanya mencapai kematangan seksual pada usia 20 tahun.

Populasi tuatara di New Zealand dianggarkan sebanyak 50,000 ekor. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan