WASHINGTON: Gadis remaja yang didatangi haid pada usia awal dan tidak berpeluang bercakap dengan ibu bapa atau ibu bapa tidak menunjukkan minat mengambil tahu mengenai anak mereka lebih berkemungkinan menonjolkan sifat agresif.
Menurut satu kajian sepasukan penyelidik Universiti Alabama, di Amerika Syarikat yang disiarkan dalam isu Ogos Archives of Pediatrics & Adolescent Medicine, gadis berkenaan juga didapati selalu bergaduh dan membuli budak lain.
Lebih 300 gadis, dengan purata usia 11 tahun, ditanya mengenai tingkah laku mereka dan sekerap mana ibu bapa masing-masing bercakap dengan mereka mengenai keganasan, merokok dan seks.
Ibu bapa turut disoal sejauh mana mereka mengenal rakan anak masing-masing atau hobi mereka.
Satu perempat daripada gadis terbabit yang didatangi haid pada usia awal, ditakrifkan sebagai mula baligh setahun lebih awal berbanding purata bagi kumpulan keturunan mereka.
Gadis baligh lebih awal dan kurang pembabitan ibu bapa dari segi komunikasi dan pengetahuan lebih berkemungkinan bertindak agresif.
Ketua penulis, Dr Sylvie Mrug, berkata gadis yang baligh awal mungkin berisiko tinggi bertindak agresif atau jahat kerana lebih berkemungkinan untuk diterima membentuk hubungan dengan lelaki lebih tua, yang berisiko tinggi terbabit dengan tingkah laku tidak menyenangkan berbanding lelaki lebih muda.
Faktor itu boleh diatasi dengan pembabitan ibu bapa sepenuhnya dan juga membantu gadis muda menangani masalah kedatangan haid dengan lebih baik. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan