Selasa, 8 Julai 2008

Wanita keguguran meningkat apabila usia suami lebih 40 tahun

PARIS 7 Julai - Jumlah kes kehamilan menurun, manakala kes keguguran meningkat apabila usia suami melebihi 40 tahun.
Menurut satu kajian yang disiarkan di sini hari ini, peluang wanita untuk hamil sudah lama diketahui menurun apabila usianya mencecah tiga puluhan.
Kajian baru itu, bagaimanapun, memberi bukti-bukti kukuh bahawa peningkatan usia di kalangan suami turut menimbulkan risiko yang sama.

Para penyelidik yang terlibat dalam kajian itu telah memantau 21,239 kes permanian beradas di kalangan lebih 12,000 pasangan suami isteri.

Seperti yang dijangkakan, para penyelidik itu mendapati bahawa jumlah kes kehamilan bagi wanita yang berusia melebihi 35 tahun menurun dibandingkan dengan wanita yang lebih muda.

Golongan itu turut mencatatkan peningkatan dalam kes-kes keguguran.

"Kami juga mendapati bahawa usia suami turut memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah kes kehamilan, dengan kesan negatif dicatatkan bagi lelaki berusia 40 tahun ke atas," kata Stephanie Belloc, seorang penyelidik dari Pusat Kesuburan Eylau yang mengetuai kajian itu.

Lebih memeranjatkan ialah jumlah kes keguguran turut meningkat jika usia suami melebihi 40 tahun, tambahnya. - AFP

1 - utusan
2 -
Lelaki kahwin lewat sukar dapat anak: Kajian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan