Selasa, 15 Julai 2008

Tempoh sah prabayar 180 hari

KUALA LUMPUR - Pengguna perkhidmatan prabayar telefon bimbit bakal menikmati tempoh sah yang lebih lama sehingga 180 hari tidak lama lagi.

Tempoh itu ekoran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengarahkan semua pembekal perkhidmatan selular memanjangkan tempoh sah bagi perkhidmatan pakej prabayar.

SKMM dalam satu kenyataannya semalam memberitahu, ia perlu bagi pembekal terbabit menyediakan pakej yang inovatif untuk memenuhi permintaaan pelanggan yang mahukan tempoh sah yang lebih lama.


"Sebelum ini pengguna prabayar tidak dibenarkan membuat sebarang panggilan apabila telah melepasi had masa sah walaupun mempunyai baki yang tidak digunakan dan hanya boleh menerima panggilan sahaja serta akaun itu akan tamat tempoh jika tambah nilai tidak dibuat.

"Kini, para pengguna tidak lagi perlu tergesa-gesa membuat panggilan untuk menghabiskan baki kredit dalam tempoh masa yang telah ditetapkan kerana pemanjangan had masa sah yang bakal dilaksanakan," kata kenyataan itu di sini semalam.

Setakat ini pakej prabayar oleh pembekal perkhidmatan seperti Celcom, Maxis dan DiGi hanya menyediakan tempoh sah dari 10 hingga 30 hari bergantung kepada amaun tambah nilai yang digunakan. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan