Khamis, 10 Julai 2008

Survival harimau bintang

Buat masa ini, sukar untuk mengetahui jumlah sebenar harimau bintang yang masih ada di Afghanistan.

HARIMAU bintang di Afghanistan telah melalui survival peperangan selama tiga dekad. Tetapi baki beberapa ekor harimau bintang di pergunungan negara itu kini berhadapan dengan ancaman lain. Penglibatan rakyat asing dalam membina semula negara tersebut menjadi ancaman terbaru yang terpaksa dihadapi haiwan ini.

Meskipun pemburuan harimau bintang telah diharamkan sepenuhnya di seluruh Afghanistan sejak 2002, bulunya masih dijual di pangkalan tentera antarabangsa dan bazar pelancong di bandar Kabul.

Pelancong asing sentiasa menyediakan wang untuk membeli kulit dan bulunya sebagai cenderamata. Ini menyebabkan rakyat negara itu melanggar undang-undang dengan terus memburu harimau bintang bagi mengaut keuntungan.

Tersembunyi di celah-celah kedai barangan cenderamata di Chicken Street, tarikan utama pelancong di Kabul ialah beberapa buah kedai yang menjual kot bulu binatang daripada haiwan yang semakin terancam dan pupus itu.

"Ini hanya berharga AS$300 (RM979)," kata seorang pekedai kepada Reuters sambil menunjukkan bulu harimau bintang dari belakang kedainya.

"Ia telah ditembak beberapa kali," jelasnya sambil menunjukkan jahitan pada bulu tersebut.

"Tetapi yang terbaik adalah yang ditembak sekali sahaja kerana kulitnya kekal tidak berubah."

Sambil mengeluarkan satu lagi kulit harimau bintang, kali ini tanpa sebarang jahitan, pekedai itu menyatakan harganya mencecah AS$900 (RM2,937).

Semua pekedai berkata, mereka mempunyai lebih banyak kulit harimau bintang di rumah dan mereka menjual bulunya kepada pelancong asing sejak beberapa minggu lalu.

Ditanya adakah mudah bagi menghantar bulu harimau bintang untuk dibawa pulang, seorang pekedai yang tidak mahu dikenali berkata: "Tiada masalah. Kami sembunyikan ia di dalam selimut dan menghantarnya ke negara anda."
Harimau bintang bersama beberapa lagi haiwan di Afghanistan telah disenaraikan sebagai spesies haiwan terancam di bawah Convention on International Trade in Endangered Species (CITES).
Sesiapa yang ditangkap kerana mengangkut bulu haiwan melintasi sempadan antarabangsa akan dikenakan denda dengan jumlah yang tinggi. Di Amerika Syarikat (AS), jika sabit kesalahan, pesalah dikenakan denda AS$100,000 (RM320,000) serta penjara selama setahun.

Buat masa ini, sukar untuk mengetahui jumlah sebenar harimau bintang yang masih ada di Afghanistan berikutan kekurangan kajian yang dibuat sewaktu konflik sejak tiga dekad lalu, kata Dr. Peter Smallwood, Pengarah Wildlife Conservation Society (WCS) di Afghanistan. WCS ialah sebuah persatuan hidupan liar yang berpangkalan di New York.

Tetapi apa yang diketahui ialah harimau bintang memang dalam bahaya.

"Jika anda melihat sejarah negara ini, Afghanistan sebenarnya mempunyai lebih banyak spesies kucing besar berbanding seluruh benua di Afrika," kata Clayton Miller, Penasihat Alam Sekitar di Kedutaan AS di Kabul.

Kemusnahan infrastruktur, perpindahan pelarian, senjata moden dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang menjadi antara faktor kepupusan flora dan fauna di Afghanistan.

Kini, hanya terdapat antara 100 hingga 200 ekor harimau bintang yang dianggarkan masih ada di Afghanistan manakala menurut International Snow Leopard Trust (ISLT), hanya tinggal 3,500 hingga 7,000 ekor harimau bintang di seluruh dunia. - Reuters

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan