KAPAL selam Mir-2 ditunda di Tasik Baikal, Siberia semalam.TASIK BAIKAL - Sebuah kapal selam mini semalam tiba di dasar Tasik Baikal, Siberia sekali gus mencipta rekod dunia kerana melakukan selaman dalam sebuah tasik, kata seorang krew pihak penganjur dari atas sebuah kapal.
"Mir-1 berada pada kedalaman 1,680 meter," kata krew itu yang suaranya boleh didengar menerusi radio yang dihubungkan dengan sebuah kapal tunda dekat Pulau Olkhon.
Kapal tunda tersebut menurunkan kapal selam Mir-1 dan Mir-2 ke dalam air di tasik paling dalam di dunia itu.
Sebelum ini, Tasik Baikal dipercayai mempunyai kedalaman maksimum 1,637 meter dan saintis-saintis menyatakan mereka mampu untuk mencari kehidupan baru berikutan penerokaan itu.
"Ini merupakan satu rekod baru untuk sebuah kapal selam yang menyelam di dalam air tawar," kata seorang anggota penganjur yang dipetik oleh agensi berita Interfax.
Ekspedisi itu dianjurkan oleh seorang anggota parlimen, Atrur Chilingarov yang pernah mengetuai sebuah pasukan kapal selam yang meletakkan bendera Rusia di dasar Kutub Utara pada Ogos tahun lalu.
Saintis-saintis merancang untuk mengumpulkan sampel dari dasar tasik itu yang mempunyai kedalaman berbeza dan berharap akan mendokumenkan kesan pemanasan global di tasik tidak tercemar. - AFP
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan