Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat berkata sejumlah RM41.8 juta diperuntukkan oleh syarikat pengeluar kereta tempatan itu bagi pembekalan dan pemasangan tali pinggang keledar belakang secara percuma membabitkan model Kancil, Kenari, Kelisa, Kembara dan Rusa.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata pemasangan itu hanya boleh dilakukan di cawangan pusat servis Perodua di seluruh negara.
Ong berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Perodua bagi program berasaskan komuniti untuk keselamatan automotif.
Ong berkata kesedaran bagi pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang juga telah mencatatkan peningkatan daripada 1 peratus kepada 17 peratus dalam tempoh advokasi yang dijalankan mulai Jun lalu.
"Ini hanya merupakan angka purata. Di sesetengah kawasan pekan kecil dan pinggir bandar, peratusannya lebih rendah. Tetapi terdapat peningkatan yang ketara," katanya.
Kerajaan memutuskan bahawa pemakaian tali pinggang belakang diwajibkan mulai Jun lalu, dengan tempoh advokasi selama enam bulan dan penguatkuasaan undang-undang bermula Januari depan.
Kenderaan yang tidak mempunyai tali pinggang keledar belakang bagaimanapun diberikan pengecualian selama tiga tahun sebagai tempoh untuk memasang alat keselamatan tersebut.
Sebelum itu dalam ucapannya, Ong berkata berdasarkan perangkaan tahun lalu, pemakaian tali pinggang keledar belakang berupaya menyelamatkan 175 nyawa, 350 lagi daripada kecederaan parah dan 1,050 daripada kecederaan ringan. - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan