WASHINGTON: Penyelidik menemui cara berkesan dan mudah diikuti untuk melawan proses penuaan dan formula memanjangkan hayat sehingga lima tahun - kurangkan makan.
Laporan artikel yang disiarkan dalam LiveScience menyebut, kurang makan boleh menambah jangka hayat sehingga beberapa tahun atau sekurang-kurangnya membantu untuk hidup lebih sihat.
Ketika pembedahan kosmetik boleh membuatkan seseorang kelihatan lebih muda, had kalori, adalah yang paling hampir dan berkesan mengekalkan keremajaan malah saintis juga berkata ia berfungsi, dengan mengurangkan risiko beberapa penyakit bahaya dan dengan membenarkan semua sel tubuh bertahan lebih lama.
"Terdapat banyak bukti had kalori boleh mengurangkan risiko anda diserang pelbagai penyakit biasa termasuk barah, diabetes dan sakit jantung. Malah anda mungkin dapat hidup lebih lama," kata penyelidik Universiti Saint Louis, Edward Weiss.
Penyelidik juga bersetuju dengan cadangan kasar yang diberikan iaitu makan 15 peratus kurang pada usia 25 dan seseorang itu mungkin memanjangkan hayat sehingga 4.5 tahun, kata Eric Ravussin, yang mengkaji kesihatan manusia di Pusat Penyelidikan Bioperubatan Pennington di Louisiana.
Anggaran Ravussin kebanyakannya berdasarkan kajian ke atas beberapa haiwan dan cuma penyelidikan awal pada manusia.
Bagaimanapun, usaha Weiss dan saintis lain berjaya merungkai misteri penuaan dan mencadangkan kajian haiwan dilaksanakan ke atas manusia.
"Tiada alasan untuk berasa ia tidak akan berjaya," LiveScience memetik Ravussin sebagai berkata.
Malah mungkin lebih meyakinkan, walaupun pada awal tahap penyelidikan, adalah ubat dicipta berdasarkan apa yang dipelajari dari kajian mengehadkan kalori.
Ubat berkenaan akan mensasarkan sel manusia supaya menghasilkan faedah sama, menolak benda buruk dan menerima benda baik untuk melanjutkan kehidupan sel secara umum, atau menawarkan terapi baru dan penawar kepada penyakit seperti Alzheimer dan barah.
Jika seseorang dapat bertahan sehingga terapi ubat baru yang meyakinkan itu dicipta, dia mungkin hidup dalam dunia yang menyaksikan jangka hayat meningkat kepada 10 hingga 15 tahun, kata penyelidik. - Agensi
bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan