Jumaat, 4 Julai 2008

Empat Daripada 10 Orang Dewasa Di Malaysia Sama Ada Gemuk Atau Terlebih Berat Badan

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Empat daripada 10 orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.

Beliau berkata angka itu bertambah tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun lepas dari 1996-2006.
Pada 1996, kadar kegemukan hanya 4.4 peratus tetapi meningkat sebanyak 14 peratus pada 2006 sementara orang yang mengalami berat badan berlebihan meningkat kepada 29.1 peratus pada 2006 daripada 16.6 peratus pada 1996, katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kesihatan "Greens For Life Campaign" anjuran Wellness Concept (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

"Walaupun kadar kegemukan dan berlebihan berat badan di kalangan orang dewasa di negara ini meningkat, tetapi aktiviti kesihatan mereka masih berkurangan," katanya.
Liow berkata kadar aktiviti senaman di kalangan mereka hanya meningkat sedikit iaitu kepada 14.4 peratus pada 2003 daripada 11.6 peratus pada 1996.
Dari segi pemakanan, hanya kira-kira 40 peratus golongan dewasa yang mengambil sayuran berdaun hijau, berdasarkan kajian yang dilakukan pada 2003, katanya.

Beliau berkata mereka juga mengambil purata sembilan hidangan makanan berdaging sehari seperti daging, ayam dan ikan, yang melebihi hidangan makan berdaging yang dicadangkan iaitu antara dua dan tiga hidangan sehari. - bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan