Isnin, 17 Mac 2008

Otak sakit sebab udara kotor

AMSTERDAM - Mereka yang terdedah kepada asap ekzos kenderaan dalam tempoh sejam bukan sahaja pening malah mampu mempengaruhi fungsi normal otak, kata pakar perubatan Universiti Zuyd di sini.

Kajian terbaru itu mendapati terdapat partikel halus tercemar yang boleh sampai ke otak semasa seseorang menarik nafas dan ia juga mampu mempengaruhi proses informasi otak.

Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Particle and Fibre Toxicology itu pada mulanya ingin mengkaji kajian persekitaran yang dialami oleh mereka yang bekerja di bengkel dan di tepi jalan.

Seramai 10 orang sukarelawan diambil untuk kajian tersebut dengan responden diminta menghabiskan masa selama sejam di bilik yang dipenuhi dengan udara bersih dan asap enjin diesel.

Sukarelawan turut dilengkapi dengan graf pengesan elektrik (EEG), peralatan yang dapat merekodkan signal elektrik pada otak. Mereka dikawal selia semasa pendedahan tersebut dan sejam selepas itu.

Namun selepas 30 minit, mereka yang terdedah kepada persekitaran buruk menunjukkan reaksi otak tertekan berdasarkan data EEG. Kesan ini berlangsung walaupun tidak lagi berada di bilik itu.

Ketua pengkaji, Paul Borm berkata, individu yang tinggal di bandar sibuk adalah lebih berisiko tertekan kerana terdedah kepada tahap pencemaran begitu tinggi. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan