Rabu, 5 Mac 2008

Negara Arab Diminta Labur Hasil Minyak Dalam Pertanian

DUBAI, 5 Mac. - Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu menyeru negara Arab supaya melabur hasil keuntungan minyak mereka dalam sektor pertanian bagi menangani masalah seperti keselamatan makanan, penurunan dalam penggunaan tanah dan kekurangan air.

Ketua Pengarah FAO, Jacques Diouf memberitahu Persidangan Serantau FAO ke-29 bagi Timur Dekat di Kaherah, pelaburan dalam pertanian dari sumber dalaman dan luaran masih rendah di kebanyakan negara di rantau tersebut.

Beliau menekankan keperluan polisi berkesan bagi menangani penurunan dalam keseluruhan bantuan luar pada sektor pertanian di rantau Timur Dekat yang berlaku sejak 1995.

"Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) yang menyumbang 17 peratus kepada keseluruhan bantuan serantau bagi sektor pertanian, perlu menambah sokongan mereka dengan menghulurkan lebih banyak bantuan kepada pertanian," katanya.

Kenyataan beliau di persidangan tersebut diedarkan oleh badan dunia itu.

FAO juga maklum soal bekalan air akan menjadi antara cabaran besar sektor pertanian di masa depan.

"Dengan kurang dari dua peratus sumber air bersih dunia, keselamatan makanan serantau bergantung kepada lebih banyak air yang boleh diperolehi. Walaupun penggunaan air bertambah berkesan dan terdapat sistem pengairan yang lebih baik, keperluan air masih belum mencukupi," kata Diouf.

FAO sedang membantu negara-negara menerusi sokongan teknikal, peralatan, benih dan teknik dalam penggunaan air dan sumber tanah.
- Bernama (Oleh Abdul Muin Abdul Majid)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan