KUALA LUMPUR, 11 Mac - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dari Bidor, Perak mencipta sejarah apabila memenangi hadiah utama pada Pertandingan Poster Keamanan Antarabangsa ke-20 baru-baru ini.
Ming Yang Soong dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan tahunan yang disertai lebih 350,000 kanak-kanak berusia 11, 12, dan 13 tahun dari 81 negara di seluruh dunia.
"Saya rasa sangat sedih apabila melihat terlalu banyak perbalahan dan ramai yang mati di dunia ini. Saya harap lukisan saya ini akan membantu meningkatkan keamanan dunia.
"Semua negara perlu bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Poster lukisannya dipilih memenangi hadiah utama berdasarkan keaslian, merit seni dan menggambarkan tema pertandingan tahun ini, "Peace Around the World" (Keamanan di Seluruh Dunia).
Soong akan menerima hadiah berupa wang tunai USD2,500 (RM8,000) pada Lions Day bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York City pada 14 Mac.
Beliau akan ditemani ibu bapanya, dua adik perempuan dan Presiden Kelab Lions Bidor Thinavukkarasu Murugiah.
Soong minat melukis potret dan seni sejak berusia lima tahun. Pada 2006 beliau mendapat tempat kedua pada program seni negeri dan keselamatan jalan raya Toyota.
Soong, anggota kelab seni sekolahnya, badminton dan Kelab Leo berharap semua negara akan menyokong keamanan dan manusia akan hidup dalam keadaan harmoni.
Selain hadiah utama, 23 pemenang anugerah merit turut diumumkan.
Selepas dipamer pada Persidangan Antarabangsa Kelab Lions ke-91 di Bangkok, Thailand Jun ini, 24 poster yang menang itu akan dipamerkan sepanjang tahun di muzium kanak-kanak dan pelbagai lokasi di seluruh Amerika Syarikat. - bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan