Sabtu, 22 Mac 2008

Kahwin faktor sihat, sakit

Kajian saintifik dapati tahap kesihatan ditentukan suasana rumah tangga

LONDON: Sekumpulan saintis mendakwa ikatan perkahwinan sememangnya baik bagi mengawal tekanan darah individu dan sekali gus melanjutkan usia suami isteri, tetapi dengan syarat rumah tangga yang dilalui itu benar-benar bahagia.

Akhbar Daily Mail melaporkan, perkahwinan bermasalah sebaliknya amat buruk untuk kesihatan, malah lebih teruk daripada hidup membujang.

Laporan itu dikeluarkan ketika satu kajian lain di Australia, pula mendakwa wanita murung terbukti mengadakan hubungan seks lebih kerap berbanding perempuan yang bahagia, atas alasan wanita bermasalah itu berasakan dirinya lebih selamat.

Hasil kajian penyelidik di Universiti Brigham, Utah di Amerika Syarikat itu yang membabitkan kesan perkahwinan ke atas pasangan, terbukti menyokong kajian lalu yang mendakwa pasangan suami isteri yang bahagia bukan setakat lebih panjang umur, tetapi sihat berbanding golongan bujang.

"Perkahwinan bahagia sememangnya banyak manfaatnya. Bukannya pada status perkahwinan itu tetapi kualiti rumah tangga yang dilalui," kata Profesor Julianne Holt-Lunstad, yang mengetuai kajian itu.

"Kajian kami menunjukkan mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi pada sepanjang malam lebih berisiko menghidap masalah jantung berbanding mereka yang dapat merendahkan tekanan itu.

"Apa yang kami dapati, pasangan suami isteri yang bahagia mencatatkan tekanan darah rendah, malah lebih rendah berbanding mereka yang hidup bujang biarpun mempunyai ramai kawan."

Penyelidikan yang memantau tekanan darah 204 pasangan suami isteri dan 99 dewasa yang masih bujang, juga menunjukkan pasangan bermasalah mencatatkan markah ujian kepuasan perkahwinan yang amat rendah.

Hasil kajian itu dikaitkan dengan hakikat salah seorang - baik isteri atau suami lazimnya mempromosi tabiat kesihatan yang baik kepada pasangan seperti sering menggalakkan mereka supaya kerap berjumpa doktor atau mengawal pemakanan.

"Mereka juga lazimnya memberi sokongan emosi ketika masa sukar - sesuatu yang tidak mungkin dinikmati bagi pasangan yang menempuh perkahwinan bermasalah serta si bujang. Faktor wujudnya kemesraan dan hubungan rapat inilah yang mempengaruhi kesihatan pasangan suami isteri."

Sementara itu di Melbourne, penyelidik Australia Dr Sabura Allen mendakwa beliau dan rakan dapat mengesahkan wanita tertekan atau kemurungan lebih gemar mencari pasangan bagi tujuan seks atas alasan ia membantu mereka berasa lebih selamat.

"Apabila murung, mereka berasa lebih tertekan, kurang yakin dengan perhubungan dan risaukan yang pasangan tidak pedulikan mereka lagi," katanya yang berkhidmat dengan Universiti Monash. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan