Jumaat, 7 Mac 2008

Buffett ganti Gates terkaya

WARREN BUFFETT

SELEPAS 13 tahun menguasai tempat teratas, pengasas syarikat perisian Microsoft, Bill Gates tidak lagi menjadi lelaki terkaya di dunia di mana kedudukannya itu diambil alih oleh rakannya dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, Buffett yang berusia 77 tahun dan merupakan seorang pelabur serta memiliki syarikat Berkshire Hathaway mempunyai kekayaan berjumlah AS$62 bilion (RM196.27 bilion).

Buffett merupakan dermawan dan ahli perniagaan yang terlibat dalam pelaburan industri makanan, barangan kemas, insurans dan kemudahan awam.






Tempat kedua di kuasai oleh usahawan telekomunikasi dari Mexico, Carlos Slim Helu (gambar kecil) dan keluarganya dengan kekayaan berjumlah AS$60 bilion (RM189.98 bilion).

Gates menduduki tempat ketiga dengan kekayaannya berjumlah AS$58 bilion (RM183.62 bilion).














Dalam senarai 1,125 orang terkaya di dunia itu, tiga ahli perniagaan India menduduki tempat keempat, kelima dan enam.

Tiga ahli pernigaan itu adalah Lakshmi Mittal yang terlibat dalam perniagaan besi, Mukesh Ambani yang merupakan pengarah urusan syarikat perdagangan terbesar di India, Reliance Industries dan adiknya, Anil Ambani yang merupakan ketua Syarikat Reliance Capital dan Reliance Communications menduduki tempat keenam.

Mukesh dan Anil terlibat dalam pelbagai perniagaan di India antaranya petrolkimia, pelabuhan dan infrastruktur.







India mempunyai 53 bilionair diikuti China sebanyak 42 bilionair, Hong Kong 26 bilionair dan Jepun cuma 24 bilioanir.

AS mempunyai bilangan teramai iaitu 469 bilionair, diikuti Rusia sebanyak 87 bilionair.

Malaysia mempunyai jumlah bilionair paling banyak di Asia Tenggara iaitu lapan orang manakala Indonesia dan Singapura masing-masing mempunyai lima orang manakala Thailand tiga serta Filipina hanya dua.

Mendahului senarai dari Malaysia adalah Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok yang memiliki kekayaan berjumlah AS$9 bilion (RM28.49 bilion) berkongsi kedudukan dengan pedagang mata wang, George Soros di tangga ke-97.



Pengasas laman sosial Facebook di internet, Mark Zuckerberg merupakan bilionair termuda dalam senarai itu kerana memiliki kekayaan berjumlah AS$1.5 bilion (RM4.75 bilion) ketika berumur 23 tahun dengan menduduki tempat ke-785.

"Dia merupakan bilionair paling muda di dunia dan kami percaya dia adalah bilionair termuda dalam sejarah," kata Pengarah Bersekutu Forbes, Matthew Miller. - Agensi









*********

NEW YORK 6 Mac - Ahli kewangan terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett akhirnya berjaya mengatasi Bill Gates sebagai manusia terkaya dunia, menurut senarai tahunan Forbes yang turut menyaksikan kemunculan ramai pesaing baru dari Rusia, China dan India.

Buffet, 77, yang mengetuai syarikat Berkshire Hathwaway mencatatkan nilai kekayaan melonjak dari AS$52 bilion (RM164.6 bilion) tahun lalu kepada AS$62 bilion (RM196.3 bilion), menyingkirkan Gates, pengasas bersama Microsoft ke tempat ketiga selepas 13 tahun berturut-turut mengungguli senarai itu.

Bilionair telekomunikasi Mexico, Carlos Slim Helu berada pada tangga kedua terkaya dengan nilai AS$60 bilion (RM189.9 bilion), melonjak dari AS$49 bilion (RM155.1 bilion) tahun lalu.

Buffett yang mengumumkan pada tahun 2006 bahawa sebahagian besar kekayaannya akan diserahkan kepada Yayasan Bill & Melinda Gates mencatat kenaikan dalam nilai kekayaan berikutan lonjakan pada nilai saham Berkshire Hantaway.

"Perkara yang mengagumkan adalah menyaksikan Buffett menduduki senarai teratas ketika beliau mendermakan wangnya," kata Ketua Pengarang Majalah Forbes, Steve Forbes.

Pada tahun lalu seramai 1,125 orang di seluruh dunia termasuk dalam senarai orang terkaya, naik dari 946 tahun lalu.

Nilai kekayaan diri mereka dalam senarai berkenaan adalah AS$4.4 trilion (RM13.9 trilion), naik dari AS$3.5 trilion (RM11 trilion) pada tahun lalu.

"Tahun lalu merupakan yang menakjubkan di seluruh dunia dalam erti kata ekonomi global dan ia digambarkan dalam senarai ini," ujar Forbes sambil menambah, jumlah orang terkaya meningkat sekali ganda dalam tempoh empat tahun.

"Salah satu sebab berlakunya ledakan kekayaan adalah kita berada dalam fenomena kesuraman global," tambahnya.

Berdasarkan pecahan mengikut negara, Amerika Syarikat terus mendahului dengan terdapat 469 orang terkaya iaitu peningkatan dari 415 tahun lalu.

Rusia pula menewaskan Jerman dengan memiliki 87 orang terkaya.

Tempat ketiga pula diduduki oleh India terdapat 53 orang terkaya tersenarai dari negara ini dengan empat daripada berada dalam kelompok 10 terkaya.

Angka tersebut pula boleh diatasi oleh China (46) dan Hong Kong (26) jika digabung.

Jepun yang merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia hanya mempunyai 24 orang terkaya dan diatasi oleh Turki yang mempunyai 35 orang terkaya, naik dari 22 orang tahun 2007.

Sementara orang terkaya wanita meningkat kepada 99 orang berbanding 87 pada tahun lalu tetapi hanya 10 peratus sahaja yang berjaya atas usaha sendiri.

Wanita paling kaya di dunia ialah pemilik syarikat kosmetik, L'Oreal dari Perancis, Liliane Bettencourt dengan kekayaan AS$22.9 bilion (RM72.5 bilion). - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan