Jumaat, 14 Mac 2008

Awas, lelaki menyamar peguam

KUALA LUMPUR - Biro Bantuan Guaman (BBG) meminta orang ramai supaya berhati-hati jika menerima panggilan telefon daripada mana-mana individu yang mendakwa sebagai peguam BBG dan meminta bayaran bagi menyelesaikan kes di mahkamah.

Ini berikutan BBG menerima beberapa aduan daripada orang awam yang dihubungi seorang lelaki yang mengaku bekerja sebagai peguam BBG di Putrajaya.

Ketua Pengarah BBG, Dr. Hassan Ab Rahman berkata, lelaki itu mengugut kebanyakan mangsanya bahawa mereka terbabit dengan kes di mahkamah sebelum meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya (lelaki itu) supaya dapat dilepaskan daripada kes mahkamah berkenaan.

"Kebanyakan mangsa yang terlibat adalah individu yang menggunakan talian Maxis dan setakat ini terdapat 10 aduan yang diterima melibatkan kes sama di mana lelaki itu akan menggunakan identiti berlainan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, kes terbaru melibatkan seorang mangsa (lelaki) yang telah memasukkan wang sebanyak RM18,000 ke dalam akaun lelaki itu dan mangsa kemudian diminta datang ke pejabat BBG Putrajaya semalam.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pada hari yang sama," katanya.

Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau sebarang hubungan dengan lelaki itu kerana dia bukan kakitangan BBG.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya orang ramai yang menerima sebarang panggilan mencurigakan dinasihatkan menghubungi BBG Putrajaya di talian 03-88851398/1804/1809 atau membuat laporan polis di balai berhampiran. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan