Istiadat bermula dengan menghantar wakil dari pihak lelaki ke rumah gadis yang hendak dipinang. Istiadat ini dinamakan sebagai merisik dan melamar. Tujuan diadakan merisik ini adalah untuk mengetahui sama ada gadis tersebut telah berpunya atau belum. Selesai sahaja risik-merisik dan setelah pihak perempuan menerima lamaran tersebut, istiadat pertunangan akan menyusul pada satu tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Apabila waktu pertunangan telah tiba, pihak lelaki akan membawa sebentuk cincin dan barang-barang lain seperti barang persalinan, kuih muih dan sebagainya. Antara barang yang terpenting ialah tepak sirih. Tepak sirih ini mengandungi daun sirih sebanyak dua puluh hingga empat puluh helai, sekurang-kurangnya dua biji pinang masak yang telah dikacip, sedikit tembakau, bunga cengkih, sedikit gambir dan kapur. Di celah-celah cembul diisikan dengan bunga rampai iaitu beberapa daun pandan yang telah dihiris-hiris halus dan dicampur dengan pelbagai jenis bunga-bungaan yang berbau harum. Daun sirih yang terpilih akan diletakkan di tengah-tengah tepak sirih.
Tepak sirih ini merupakan barang yang wajib dibawa oleh pihak lelaki kerana ia merupakan sirih meminang. Tepak sirih adalah satu bingkisan yang paling diutamakan dan ia sangat penting dari bingkisan-bingkisan yang lain. Ia juga berfungsi sebagai pembuka bicara kerana apabila pihak lelaki hendak memulakan perbualan yang berkisar tentang pertunangan , seorang wakil dari pihak lelaki akan menghulurkan tepak sirih ini ke tengah. Ia akan diterima oleh pihak perempuan dan ini bermakna pihak perempuan telah menerima pinangan tersebut.
Selain dari tepak sirih pihak lelaki turut membawa buah-buahan seperti pisang, epal, anggur dan sebagainya yang telah dibalut dengan cantik dan dua biji kelapa muda yang dihiasi dengan jambangan-jambangan bunga yang diperbuat daripada daun kelapa. Bahagian luar buah kelapa ini akan diukir dengan cantik. Sirih junjung juga dibawa bersama. Sirih junjung ini dinamakan sebagai Sirih Junjung Pinang Berketih iaitu satu junjungan sirih dengan pinang. Daun sirih terletak pada batang empulur pisang. Bunga-bungaan turut diselitkan di antara daun tersebut. Setelah perbincangan selesai dan setelah cincin disarungkan di jari manis si gadis oleh wakil dari pihak lelaki, maka sahlah gadis tersebut telah menjadi tunangan orang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan