Khamis, 17 Julai 2014

Real Madrid, Barcelona kelab sukan terkaya dunia - Forbes

NEW YORK, 17 Julai : Selaku penyandang juara dunia, Sepanyol mungkin dimalukan di Brazil namun dua kelab gergasinya, Real Madrid dan Barcelona masih lagi juara dalam sudut menjana keuntungan selepas dinamakan francais sukan terkaya dunia.
Buat kali kedua berturut-turut, majalah ekonomi terkemuka Forbes menyenaraikan juara Eropah, Real Madrid, kelab di mana Cristiano Ronaldo beraksi sebagai pasukan sukan terkaya dunia dengan nilai AS$3.44 bilion (RM10.95 bilion).
 
Barcelona yang memiliki bintang Argentina, Lionel Messi selain Brazil, Neymar dan terbaru penyerang sensasi Luis Suarez, berada di kedudukan kedua dengan nilai AS$3.2 bilion (RM10.18 bilion) manakala gergasi Inggeris, Manchester United di ranking ketiga dengan nilai AS$2.81 bilion (RM8.94 bilion) sekalipun mengharungi kempen penuh bencana, musim lalu.
 
Satu-satunya kelab bola sepak yang berada di kedudukan 10 teratas ialah jaguh Jerman, Bayern Munich yang dianggarkan bernilai AS$1.85 bilion (RM5.89 bilion) untuk mengisi kedudukan ketujuh.
 
Manakala enam tempat lagi diisi pasukan daripada Major League Baseball dan National Football League dari Amerika.
 
Pasukan baseball, New York Yankees mengisi kedudukan keempat dengan nilai AS$2.5 bilion (RM7.96 bilion) manakala Dallas Cowboys yang dinilaikan AS$2.3 bilion (RM7.32 bilion) berada di kedudukan kelima.
 
Secara purata, nilai keseluruhan 50 pasukan terkaya dunia adalah AS$1.34 bilion (RM4.15 bilion), peningkatan lapan peratus berbanding tahun lalu. - AFP
 
Senarai 10 kelab sukan terkaya dunia:
  1. Real Madrid - RM10.95 bilion
  2. Barcelona - RM10.18 bilion
  3. Manchester United - RM8.94 bilion
  4. New York Yankees - RM7.96 bilion
  5. Dallas Cowboys - RM7.32 bilion
  6. Los Angeles Dodgers - RM6.36 bilion
  7. Bayern Munich - RM5.89 bilion
  8. New England Patriots - RM5.73 bilion
  9. Washington Redskins - RM5.41 bilion
  10. New York Giants - RM4.93 bilion

Tiada ulasan:

Catat Ulasan