PUTRAJAYA, 13 Jun 2014 - Krim kosmetik Dermaceutic Spot Cream dan Dermaceutic Spot Peel Cream yang dikilang oleh Dermosciences, Ireland dikesan mengandungi racun berjadual hydroquinone dan tretinoin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru itu produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia serta orang awam dinasihati untuk mengelak daripada membeli dan mengguna kosmetik berkenaan.
Beliau berkata, syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk itu telah diarah untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggil balik kesemua stok produk itu dari pasaran dalam tempoh 72 jam.
"Produk yang mengandungi hydroquinone dan/atau tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, produk kosmetik yang dicampur-palsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan