PUTRAJAYA, 4 Jun - Terumbu karang di Taman Laut Pulau Payar, Kedah; Pulau Redang, Terengganu; Taman Laut Pulau Tioman, Pahang dan Taman Laut Pulau Aur, sedang mengalami stres haba, manakala beberapa kawasan menyelam di Taman Laut Pulau Tioman menunjukkan tanda-tanda awal mengalami pelunturan.
Perkara itu diketahui melalui kaji selidik Jawatankuasa Respons Pelunturan terumbu karang sejak Mac tahun ini untuk memantau keadaan di negara ini dan mengesan permulaan berlakunya pelunturan.
Menurut kenyataan Jabatan Taman Laut Malaysia hari ini, data semasa menunjukkan terumbu karang di Taman Laut Pulau Payar, Pulau Redang, Taman Laut Pulau Tioman dan Taman Laut Pulau Aur mengalami stres haba dengan suhu permukaan laut antara 30oC dan 32oC.
Katanya pelan tindakan untuk memberi respons terhadap keadaaan itu sudah disediakan.
"Jawatankuasa berkenaan akan memberi maklumat lanjut apabila ia didapati dan menyebarkannya untuk memastikan semua pemegang kepentingan mendapat maklumat sepenuhnya tentang perubahan yang berlaku," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan