Singapura, 26 Mei 2014 - Jerebu yang dijangka melanda Singapura dalam beberapa bulan lagi diramalkan berpanjangan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan, kata pakar yang memberi amaran fenomena berkenaan adalah sama seperti apa yang pernah dialami negara itu pada 1997.
Jerebu berpanjangan berkenaan boleh berlaku sekiranya kesan El Nino yang kuat, ditambah pula dengan aktiviti pembakaran hutan secara haram oleh petani di Sumatera.
El Nino adalah satu fenomena yang disebabkan cuaca kering yang teruk dan suhu tinggi di rantau ini.
3,000 kawasan panas
Laporan alam sekitar menyebut lebih 3,000 kawasan panas di Sumatera dikesan ketika krisis jerebu melanda pada Mac lalu berbanding 2,700 pada Jun tahun lalu.
Musim kering akan datang dijangka berlaku antara Jun dan Oktober dan pakar melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti pembersihan dan pembakaran ladang secara haram di Sumatera yang akan menyebabkan kebakaran berskala besar.
Jika mereka terus melakukan pembakaran untuk membersihkan hutan, terutama sekali apabila tanah dibersihkan secara haram, mereka tidak akan mendengar nasihat daripada sesiapapun yang memberitahu mereka untuk tidak memulakan pembakaran, kata Pengarah Pusat Alam Sekitar Global, sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia, Faizal Parish.
Mereka tidak akan mengambil tindakan segera untuk memadamkan kebakaran. Masalah (di Sumatera) perlukan penguatkuasaan aktif.
Ditambah pula, kebakaran yang berlaku Mac lalu masih belum dipadamkan sepenuhnya, katanya.
Kira-kira 90 peratus asap dan jerebu datangnya daripada pembakaran tanah gambut. Kebakaran terus berlaku di bawah tanah beberapa bulan dan kemudian ia akan berlaku semula ketika musim kering.
Jadi kadang kala apabila hujan, permukaan kebakaran sudah padam tetapi di bawah tanah tetap terbakar. Beberapa hari atau minggu selepas itu kebakaran berlaku semula daripada bawah tanah naik ke permukaan tanah.
Parish berkata kebakaran di kawasan paya gambut biasanya bertahan selama enam bulan antara 1997 dan 1998. – Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan