Jumaat, 7 Mac 2014

Vaksin baru malaria diperkenal pada 2019

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2014 - Vaksin pertama yang mampu mencegah penyakit malaria akan diperkenal ke seluruh dunia pada 2019.
 
Dikenali sebagai Plasmodium falciparum sporozoite (PfSPZ), vaksin itu dihasilkan Sanaria Inc., sebuah organisasi bio-teknologi dan pakar penyakit malaria yang berpejabat di Maryland, Amerika Syarikat.
 
Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pegawai saintifik organisasi itu, Dr. Stephen L. Hoffman berkata, PfSPZ dipercayai mampu mengurangkan 90 peratus kes malaria dan bertindak sebagai vaksin paling berkesan untuk mencegah penyakit itu.
Beliau berkata pada masa ini, PfSPZ melalui ujian klinikal di beberapa negara termasuk Afrika, Amerika, Eropah dan Jerman.
 
"Kami perlu mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum boleh mengedar vaksin ini ke negara lain.
 
"Kami berpendapat ia boleh menjadi vaksin pertama yang mampu menghapuskan penyakit malaria, sekiranya ia diberi kepada penduduk, ia boleh menghapuskan (penyakit) malaria," katanya kepada pemberita di luar hari kedua Kongres Asean Keenam mengenai Perubatan Tropika dan Parasitologi di sini hari ini. - Bernama
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan