Sabtu, 15 Mac 2014

Petaling Jaya duduki tempat kelima senarai gambar selfie

LOS ANGELES, 14 Mac 2014 - Bandar Makati di Filipina menduduki tangga pertama dalam senarai jumlah gambar potret rakaman sendiri atau dikenali sebagai selfie yang paling banyak dirakamkan di dunia, lapor akhbar Mail Online kelmarin.
Senarai itu dikeluarkan majalah Time yang melakukan kajian dan mendapati bandar itu mencatatkan sebanyak 258 gambar selfie dirakamkan menerusi telefon bimbit bagi setiap 100,000 orang.
 
Bandar Manhattan di New York, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat kedua dengan 202 rakaman gambar bagi setiap 100,000 orang walaupun kebanyakan yang merakamkan gambar tersebut ialah pelancong.
 
Tempat ketiga menjadi milik bandar Miami di Florida, AS yang mencatatkan 155 rakaman selfie bagi setiap 100,000 orang.
 
Bandar Anaheim di AS menduduki tangga keempat apabila sebanyak 147 rakaman selfie diambil bagi setiap 100,000 orang.
 
Bandar Petaling Jaya di Selangor, Malaysia menduduki tempat kelima apabila seramai 141 orang yang merakamkan gambar selfie bagi setiap 100,000 orang.
 
Tempat kesepuluh turut menjadi milik bandar Georgetown di Pulau Pinang, Malaysia apabila 95 orang merakamkan gambar selfie bagi setiap 100,000 orang.
 
Majalah Time menyenaraikan 459 bandar dalam senarai rakaman selfie paling banyak itu. - Agensi
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan