Isnin, 17 Mac 2014

BH, Metro kuasai kedudukan teratas

Kuala Lumpur, 15 Mac 2014 - Akhbar bahasa Melayu terbitan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) iaitu Berita Harian dan Harian Metro kekal menguasai dua kedudukan teratas akhbar berbahasa Melayu dengan bilangan pembaca tertinggi di negara ini, tahun lalu.
 
Mengikut laporan kaji selidik Nielsen Consumer and Media View Toplines bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, Harian Metro yang dibaca 22.7 peratus penduduk Semenanjung berusia 15 tahun ke atas, mengekalkan kedudukan pertama manakala BH yang dibaca 6.2 peratus penduduk dalam kategori itu berada di tempat kedua.
Kajian dikeluarkan semalam itu mendapati, jumlah pembaca akhbar BH bagi tempoh Januari hingga Disember 2013 adalah 1.01 juta setiap hari, manakala BH Ahad mempunyai 1.02 juta pembaca sehari.
 
Metro ungguli akhbar
Harian Metro kekal mengungguli segmen akhbar harian berbahasa Melayu dengan mencatat 3.68 juta pembaca sehari bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, manakala Metro Ahad merekodkan 3.85 juta pembaca.
 
Satu lagi akhbar terbitan Kumpulan NSTP, New Straits Times (NST) merekodkan 270,000 pembaca sehari bagi tempoh Januari hingga Disember 2013, manakala New Sunday Times mempunyai 192,000 pembaca.
 
Sinar Harian yang dimiliki Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, dibaca 5.6 peratus (915,000 pembaca) penduduk.
 
Dua lagi akhbar dalam kategori berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! masing-masing dibaca oleh 4.6 peratus (744,000 pembaca) dan 5.2 peratus (840,000 pembaca) pengguna.
 
Nielsen Media Research dalam kenyataannya mengumumkan laporan kaji selidik yang dijalankan di Semenanjung antara Januari hingga Disember 2013 itu berkata, secara keseluruhannya jumlah pembaca akhbar harian di negara ini dalam tempoh itu adalah 56.5 peratus daripada penduduk berusia 15 tahun ke atas.
 
Akhbar bahasa Melayu dibaca oleh 33.6 peratus daripada pembaca akhbar, diikuti berbahasa Cina (16 peratus), bahasa Inggeris (7.3 peratus) dan Tamil (3.5 peratus).
 
Bagi akhbar bahasa Inggeris, NST mengekalkan kedudukan di tempat kedua dari segi bilangan pembaca paling tinggi dengan dibaca oleh 1.7 peratus pembaca, manakala The Star meraih enam peratus pembaca. - BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan