Klang, 13 Mac 2014 - Peningkatan lebih tiga kali ganda penerima rawatan dialisis di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun menunjukkan ramai tidak memandang serius penyakit buah pinggang.
Ketua Unit Hemodialisis Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Shahnaz Shah, berkata Malaysia adalah antara negara tertinggi mempunyai pesakit buah pinggang di dunia.
Beliau berkata, perangkaan menunjukkan 28,590 pesakit buah pinggang didaftarkan pada 2012, berbanding 9,107 pada 2002.
Buah pinggang gagal berfungsi
Katanya, 58 peratus kes penyakit buah pinggang peringkat akhir berpunca daripada kencing manis, 25 peratus daripada punca tidak dikenal pasti, 11 peratus akibat tekanan darah tinggi dan tujuh peratus atas sebab lain.
"Apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan sempurna, seseorang itu akan jatuh sakit disebabkan pengumpulan toksin, kelihatan pucat dan letih kerana kekurangan sel darah merah, bengkak kaki, pergelangan kaki, tangan dan sekitar mata kerana pengumpulan air.
"Pesakit akan lebih kerap membuang air kecil berbanding biasa juga mengalami rasa yang tidak menyenangkan pada lidah, kurang selera makan dan loya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di HTAR di sini, semalam.
CKD boleh dialami sesiapa Dr Shahnaz berkata, kerosakan buah pinggang akan mengambil masa panjang hingga bertahuntahun, malah penyakit buah pinggang kronik (CKD) boleh dialami sesiapa terutama yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan yang mempunyai ahli keluarga penghidap sakit buah pinggang.
Beliau berkata, penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) yang juga peringkat kelima CKD adalah tahap kritikal tetapi pengesanan awal mampu menghalangnya.
Katanya, ESRD adalah kerosakan buah pinggang menyeluruh bersifat kekal dan hanya dua jenis rawatan untuk ESRD iaitu pemindahan buah pinggang dan dialisis.
Sehingga 2012, seramai 1,894 pesakit menjalani proses pemindahan buah pinggang manakala 28,590 pesakit menjalani rawatan dialisis.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan