Khamis, 30 Januari 2014

Snowden dapat pencalonan Hadiah Keamanan Nobel daripada ahli Parlimen Norway

OSLO, 30 Jan. 2014 - Seorang ahli Parlimen Norway hari ini telah menamakan bekas kontraktor Agensi Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden, ke pencalonan Hadiah Keamanan Nobel 2014. Ahli Parlimen itu mendakwa pembocoran dokumen sulit oleh Snowden telah menjadikan dunia ini lebih selamat.
 
Baard Vegar Solhjell, bekas menteri pendidikan dan alam sekitar bagi Parti Sosialis, menyatakan bahawa pendedahan yang dibuat oleh Snowden telah melebarkan pemahaman umum mengenai hal-hal perisikan antara negara.
 
"Memang tidak dapat disangkal lagi tentang tindakan Snowden yang telah merosakkan kepentingan keselamatan beberapa negara untuk jangka masa pendek.
 
"Namun kami yakin bahawa perdebatan awam dan perubahan polisi yang menyusul selepas pendedahan Snowden telah menyumbang kepada aturan dunia yang lebih aman dan stabil, ujar Solhjell yang disokong oleh seorang lagi ahli parlimen, Snorre Valen dalam satu kenyataan.
 
Tambah Solhjell, tindakan Snowden itu memberi kesan terhadap pengenalan semula aspek kepercayaan dan ketelusan sebagai sebuah prinsip penting dalam polisi keselamatan global.
Snowden, yang kini hidup dalam perlindungan suaka di Rusia selepas mendedahkan rahsia pentadbiran AS, berdepan dengan pendakwaan jenayah di AS.
 
Ribuan orang di seluruh dunia layak untuk mencalonkan nama untuk Hadiah Keamanan Nobel. Pada tahun lalu, terdapat 259 pencalonan untuk anugerah tersebut yang telah menyaksikan Organisasi Pengharaman Senjata Kimia sebagai pemenangnya. Organisasi tersebut dikagumi atas usahanya menghapuskan senjata kimia Syria.
 
Jawatankuasa Nobel Norway akan mengumpulkan pencalonan untuk tahun ini sehingga 1 Februari dan disenarai pendek pada 4 Mac. Jawatan kuasa itu sendiri akan bersidang untuk menentukan senarai akhir pencalonan. Pemenang Hadiah Keamanan Nobel tahun ini bakal diumumkan pada 10 Oktober. - Reuters
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan