Rabu, 2 Oktober 2013

Kargo wang tunai RM87.2b tersadai

Dubai, 1 Okt. 2013 - Sebuah kargo mengandungi wang tunai bernilai kira-kira AS$27 bilion (RM87.2 bilion) tersadai di Lapangan Terbang Moscow kerana tidak dituntut sejak lebih lima tahun lalu.

 

Daily Mail melaporkan dakwaan ia mungkin harta milik diktator Iraq, Saddam Hussein atau pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.

 

Kini dikawal ketat di sebuah gudang, wang tunai itu disimpan dalam 200 kotak kayu dengan setiap satunya berjumlah hampir $135 juta (RM436 juta).

 

Kastam Russia sudah meminta pemilik sah tampil menuntut harta milik mereka. Walaupun terdapat pelbagai individu palsu yang tampil, setakat ini pihak berkuasa belum bertemu lagi pemilik sah wang tunai itu yang membolehkan pemiliknya menjadi lebih kaya berbanding Roman Abramovich, antara bilionair Russia.

Wang tunai itu diterbangkan ke Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow dari Frankfurt pada 7 Ogos 2007. Yang peliknya, ia tiba di lapangan terbang itu tanpa menyatakan nama penerimanya dan sejak itu ia dibekukan.

 

Sementara itu, terdapat khabar angin mengatakan wang itu milik mafia Russia atau milik pegawai kerajaan yang terbabit rasuah tetapi bahaya untuk sesiapa pun menuntutnya kerana jumlahnya yang amat banyak.

 

Satu laporan Sabtu lalu mengatakan wang tunai berkenaan ditujukan kepada yayasan “The World of Kind People,” yang mempunyai ibu pejabat di Ukraine. Anehnya, ia tidak dihantar ke negara itu, sebaliknya dikirimkan ke Russia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan