Kuala Lumpur, 18 Sept. 2013 - Sindiket penipuan parcel (bungkusan) yang didalangi warga Afrika dikesan menggunakan modus operandi baru dengan menggunakan identiti warga Malaysia untuk menarik perhatian mangsa.
Suspek yang kononnya menetap di luar negara akan memberitahu dia berdarah kacukan iaitu salah seorang ibu atau bapanya berasal dari Malaysia selain mengaku mahu kembali ke negara ini untuk menjejaki saudara-mara.
Terbaru, seorang eksekutif lelaki berusia 27 tahun terpedaya tipu daya seorang suspek yang mengaku bapanya warganegara Malaysia yang berasal dari Selangor kerugian hampir RM100,000.
Difahamkan, mangsa mengenali suspek melalui kiriman e-mel yang kononnya mahu mencari rakan di Malaysia bagi membantunya menjejaki keluarga sebelah bapanya itu.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehubungan itu, mangsa menjalin persahabatan sebelum timbul bibit cinta yang membuka ruang kepada suspek untuk memulakan agenda penipuan.
Beliau berkata, melalui modus operandi ini suspek akan meyakinkan mangsa dengan penggunaan nama individu tempatan selain memberikan alamat rumah yang dikatakan bakal menjadi tempat tinggalnya di sini.
Katanya, apabila mangsa mencari alamat itu dalam enjin pencarian Google, alamat itu memang wujud cuma ia bukan kediaman suspek.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan