J |
OHN Adams, Presiden Amerika Syarikat yang kedua (1797 hingga 1801) berkata, ada dua cara yang paling berkesan untuk menakluk sesebuah negara iaitu yang pertama dengan senjata, kedua dengan hutang.
Sejak beberapa tahun lepas, nama John Perkins tiba-tiba meletup di seluruh dunia sebagai penjenayah ekonomi yang telah bertaubat. Perkins mempopularkan apa yang sekarang dipanggil 'korporatokrasi' iaitu kaedah menjatuhkan sesebuah negara atau seseorang pemimpin dengan menggunakan senjata ekonomi.
Perkins sebelum bertaubat berkhidmat dengan National Security Agency (NSA) sebagai perunding ekonomi khusus untuk 'membantu' negara-negara dunia ketiga. Antara negara di mana dia pernah berikan khidmat termasuk Ecuador, Panama dan Indonesia.
M |
engenai Ecuador, Perkins menceritakan dalam bukunya 'Confessions of an Economic Hitman' bagaimana dia cuba merasuah Presiden Jaime Roldos yang dipilih dengan majoriti besar dalam pilihan raya pada 1979. Tawaran rasuah Perkins bagaimanapun ditolak oleh Roldos.
Roldos sememangnya adalah pemimpin prorakyat dan tidak digemari oleh AS. Sehubungan itu, Uncle Sam cuba menjatuhkannya dengan rasuah. Di sinilah peranan Perkins.
Pada 1981, Roldos dibunuh. Saksi utama pembunuhannya juga mati dalam kemalangan jalan raya.
Pada tahun yang sama, Omar Torrijos, ahli politik yang dikagumi Perkins naik sebagai Presiden Panama. Walaupun Torrijos seorang pemimpin yang dia sendiri kagumi, demi kepentingan negara, Perkins cuba juga mengumpan rakannya itu untuk menyeleweng. Namun dia sekali lagi gagal.
Bagi Torrijos, dia hanya mengutamakan rakyatnya termasuk mendapatkan kembali hak ke atas Terusan Panama.
Selepas pembunuhan Roldos, Torrijos memberitahu keluarganya bahawa selepas Presiden Ecuador itu, mungkin dia pula akan dibunuh. Benarlah. Tidak lama kemudian pesawat dinaikinya terhempas.
D |
alam buku keduanya, 'The Secret History of The American Empire', Perkins menceritakan pengalaman di Indonesia di mana dia berhadapan dengan anak-anak muda yang meyakini akan tiba masa negara-negara Islam mengalahkan kapitalis.
Malah kata mereka, dasar ekonomi komunis yang ketika itu sangat kuat juga tidak mampu mengalahkan kapitalis seperti Islam.
Berbalik peringatan John Adams, kita tentu masih ingat banyak negara jatuh muflis termasuk Indonesia tatkala krisis mata wang pada 1997. Kita juga tentu ingat bagaimana Suharto, seorang pemimpin yang berkuasa selama lebih 30 tahun akhirnya terpaksa tunduk menyerahkan masa depan negaranya kepada Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus.
Kita juga tidak lupa bagaimana Suharto kemudian dimomokkan dengan KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme), apa yang menurut Perkins salah satu strategi NSA untuk menjatuhkan seseorang pemimpin.
Mereka mengumpan, mereka juga yang mendakwa dan kemudian menjadi hakim!
Suharto sebelum itu sangat akrab dengan Duta AS, Paul Wolfowitz. Wolfowitz sebelum ke Jakarta adalah Timbalan Setiausaha Pertahanan AS. Tidak lama setelah meninggalkan Jakarta, merebak demonstrasi anti-Suharto.
Wolfowitz muncul seakan jelmaan Snouck Hurgonje, tokoh Belanda yang begitu licik memainkan jarum pada era penjajahan hingga berpura-pura memeluk Islam, bertahun-tahun berguru dengan ulama Acheh di Masjidil Haram sebelum berhijrah ke Tanah Jawa, berkahwin dengan dua wanita yang kedua-duanya anak kadhi. Dia lakukan itu semua hanya untuk memudahkan kerja Kristianisasi sebelum kembali semula ke Belanda!
Kisah Hurgonje akan diceritakan dalam bab yang lain kemudian.
Indonesia akhirnya huru-hara kerana hutang. Rakyat yang terhimpit, berdemo siang malam.
A |
pakah ini perkara baru dalam penjajahan?
Apa pula kaitannya dengan peperangan yang tidak pernah kunjung padam di atas muka bumi ini sejak berabad silam?
Apakah perang demi perang ini sebenarnya perang atau hanya sandiwara ibarat patung wayang kulit yang dimainkan oleh tok dalang?
Naib Presiden AS pada 1913, Thomas R Marshall pernah mengungkapkan kenyataan yang sangat pelik: "The World Government will not permit the establishment of peace."
Siapa Kerajaan Dunia?
*Oleh MUHAMAD MAT YAKIM, Sinar Harian, 20 September 2013

Tiada ulasan:
Catat Ulasan