Kuala Lumpur, 6 Sept. 2013 - Sebanyak 95 peratus penduduk di negara ini masih tidak ada kesedaran mengenai bahaya kebakaran apabila gagal menyediakan alat pemadam api di dalam rumah atau dalam kereta masing-masing.
Sebaliknya, mereka bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat jika berlaku kebakaran sama ada kecil atau besar, tanpa mengambil langkah pencegahan terlebih dulu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, ketika mendedahkan perkara itu berkata, menerusi kempen pencegahan dan ceramah di semua lokasi di seluruh negara, pihaknya mendapati pengetahuan penduduk mengenai bahaya kebakaran terlalu lemah.
Tak tahu guna
K |
atanya, ketika ditanya kepentingan memiliki alat pemadam api sama, mereka mengatakan tidak tahu mengenai peralatan berkenaan sebaliknya hanya bergantung kepada bomba jika berlaku kebakaran.
“Harga untuk alat pemadam api bagi kegunaan di rumah adalah serendah RM110 hingga RM140 manakala untuk kegunaan kereta, antara RM68 hingga RM110.
“Jika dilihat rakyat di negara lain, hampir 100 peratus penduduk menyediakan kemudahan alat pemadam api di rumah atau dalam kereta kerana ia satu keperluan bagi mengelak api merebak dengan cepat jika berlaku kebakaran,” katanya pada majlis Sambutan Aidilfitri, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Khiruddin meminta penduduk lebih mengambil berat bahaya kebakaran dan tidak bersikap sambil lewa kerana kediaman mempunyai insurans kebakaran.
“Kita tahu tugas memadam kebakaran adalah tanggungjawab pihak bomba. Bagaimanapun apa yang kita mahu adalah langkah pencegahan yang boleh diambil penduduk bagi mengelak kematian ketika kebakaran,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan