KUALA LUMPUR, 14 September 2013 - Pengguna telefon bimbit terutama telefon pintar disaran mengambil langkah proaktif melindungi maklumat peribadi dan mengamalkan sikap lebih berhati-hati, menurut Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).
Ini disebabkan dengan meningkatnya kebolehsediaan dan kemampuan telefon pintar, lebih banyak maklumat sensitif pengguna serta maklumat peribadi mudah diakses, dirujuk silang dan disepadukan melalui peranti.
Menurut CFM pengguna perlu mendapatkan nombor peranti 'International Mobile Station Equipment Identity' (IMEI) yang boleh diperoleh dengan menaip *#06# pada peranti mereka dan IMEI 15 digit akan terpapar di skrin telefon atau merujuk kepada pelekat persijilan Sirim di belakang telefon dan mereka harus menyimpannya secara berasingan di tempat selamat.
"Nombor IMEI merupakan rekod penting untuk disimpan kerana ia merupakan pengecam peranti dan menghubungkan pelbagai maklumat kepada pengguna, boleh dikenal pasti untuk aktiviti khusus yang menghubungkan nama, masa dan tempat," jelas kenyataan itu.
Sebagai langkah pelindungan, pengguna boleh memasang aplikasi tertentu yang membantu menyimpan semua data penting yang terdapat di dalam telefon, termasuk nombor telefon, gambar, video dan fail digital lain.
Selain itu, pengguna juga boleh mengambil langkah proaktif dengan memasang sekurang-kurangnya satu aplikasi pengesan pada telefon mereka yang boleh menjadi langkah pertama untuk memeriksa jika telefon itu benar-benar dicuri atau tersalah letak sebelum membuat laporan polis.
CFM menegaskan jika telefon itu hilang, pengguna dinasihati supaya segera menukar kata laluan bagi akaun yang sensitif untuk mengelak maklumat peribadi mereka digunakan dalam penipuan dan aktiviti jenayah.
"Sesetengah maklumat yang sangat sensitif seperti kewangan, perbankan dalam talian dan akaun bersama perlu diubah untuk mengelak maklumat sensitif daripada diakses tanpa kebenaran.
"Kata laluan akaun media sosial juga perlu ditukar bagi mengelak pencurian identiti, penyamaran dan sebagainya," kata CFM.
Akhir sekali pengguna perlu segera membuat laporan polis jika telefon mereka hilang terutama semasa dalam rompakan atau pecah rumah selain mengambil langkah pencegahan yang perlu sebelum kejadian buruk berlaku. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan