LONDON, 18 Sept. 2013 - Kajian pakar kulit mendapati sejenis bahan pengawet yang digunakan dalam beratus-ratus produk kecantikan muka boleh memberi kesan alahan yang teruk kepada pengguna.
Ahli dermatologi Hospital Thomas di London, Dr. Ian White berkata, bahan pengawet jenis methylisothiazolinone (MI) yang digunakan boleh menyebabkan ruam, ketulan, lepuh, gatal mata dan bengkak pada pengguna yang berkulit sensitif.
Kata White, skala kesan alahan daripada bahan MI, yang digunakan secara meluas sejak 2005, berada pada tahap membimbangkan.
Jelasnya, beliau tidak pernah melihat kesan alahan yang begitu teruk disebabkan bahan pengawet MI.
"Kesan bahan pengawet tersebut menjadi sebahagian daripada wabak dan saya berharap syarikat-syarikat kosmetik dapat bertindak segera membuang bahan itu," katanya.
Bahan MI merupakan bahan pengawet yang dicipta untuk melanjutkan jangka hayat rak kayu, dan tidak mempunyai ciri-ciri berguna kepada pengguna produk kecantikan.
Kebimbangan penggunaan bahan pengawet MI tercetus apabila lebih 150 orang di Britain mengadu mengalami penyakit kulit selepas menggunakan produk krim matahari, Piz Buin yang dikeluarkan oleh syarikat kosmetik terkemuka Johnson & Johnson.
Ekoran aduan itu, syarikat berkenaan mengambil tindakan membuang bahan kimia tersebut dalam ramuan beberapa produknya termasuk produk Piz Buin yang mendapat sambutan menggalakkan.
Selain itu, syarikat Molton Brown turut melakukan tindakan yang sama terhadap beberapa produknya, manakala syarikat Nivea, L'Oreal, Clarins dan Sanctuary mendapat tekanan kuat daripada pakar untuk membuang bahan berbahaya itu. - Agensi

Tiada ulasan:
Catat Ulasan