KUALA LUMPUR, 3 Sept. 2013 - Penembusan telefon pintar di Malaysia dalam kalangan para pengguna harian Internet, telah meningkat daripada 47 peratus pada 2012 kepada 63 peratus tahun ini, demikian menurut satu analisis oleh Ericsson ConsumerLab di Asia Tenggara dan Oceania.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Ericsson ConsumerLab, Afrizal Abdul Rahim berkata, penggerak utama untuk membeli telefon pintar ialah untuk akses ke Net dan agar mudah saling berhubung.
Aspirasi pengguna untuk menambah baik telefon semasa mereka dan memiliki telefon pintar adalah penggerak utama yang lain, kata beliau.
"Perkhidmatan data mudah alih terus mengalami pertumbuhan pesat di kalangan pengguna telefon pintar terutamanya untuk pesanan segera, media sosial dan video,” kata beliau.
Ericsson berkata penggunaan aplikasi melonjak daripada 54 peratus pada 2012 kepada 76 peratus tahun ini.
Kadar penembusan tablet pula meningkat kepada 39 peratus tahun ini daripada 14 peratus tahun sebelumnya.
Ia berkata saling hubung Internet adalah penggerak penting kepada pembelian tablet. - Bernama

Tiada ulasan:
Catat Ulasan