Sabtu, 21 September 2013

1 penduduk, 1 kilo sampah

BATU FERRINGHI, 21 September 2013 - Setiap seorang penduduk di negeri ini menghasilkan kira-kira 1 hingga 1.2 kilogram sampah setiap hari.

 

Penasihat Kelab Pencinta Alam (MNS) Pulau Pinang, K Kanda berkata, jumlah berkenaan diperoleh melalui data dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

 

Menurutnya, dia turut menyatakan kebimbangannya terhadap trend pembuangan sampah berkenaan.

 

“Sekiranya tiada kesedaran yang sewajarnya dibimbangi jumlah berkenaan akan semakin bertambah sekali gus menyebabkan sampah lebih banyak dari komuniti sendiri.

 

“Kawasan longgokan sampah kita di Pulau Burung sendiri sudah pasti tidak dapat menampung jumlah sampah ini setiap hari,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas memberikan ceramah kepentingan kitar semula di Hotel Golden Sands Resort sempena Program Laut Tanpa Sampah.

Kanda yang juga bekas Presiden Kelab Pecinta Alam Pulau Pinang itu berkata, daripada jumlah sampah berkenaan hanya 20 peratus sampah terdiri daripada bahan organik.

 

“Sementara yang lainnya adalah terdiri daripada pelbagai jenis sampah dan kebanyakannya masih boleh dikitar semula.

 

“Namun sayangnya, jumlah peratusan mereka yang mengitar semula hanya di antara 20 hingga 25 peratus sahaja sedangkan jumlah yang sepatutnya 45 peratus,” katanya.

 

Menurutnya, walaupun trend mengitar semula semakin meningkat namun ia dilihat berlaku amat perlahan.

 

Kanda turut menyarankan kerajaan menggalakkan syarikat menggunakan produk kitar semula seperti botol.

 

"Sebaiknya terdapat lambang kitar semula pada setiap botol bagi mengenal pasti ia barangan kitar semula.

 

“Sekurang-kurangnya penggunaan botol dijimatkan dan membantu kitar semula,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan