A |
nak kura-kura yang comel ini ialah antara satu spesis kura-kura yang jarang ditemui dan juga mungkin yang paling comel di dunia.
Menurut laporan Metro UK, kakitagan di Pusat Hidupan Laut Kebangsaan di Birmingham menerima satu kejutan manis selepas sepasang anak kura-kura jenis itu dikesan berenang di dalam tangki akuariumnya.
Semua penjaga di pusat haiwan laut tidak langsung tahu Kura-Kura Pulau Roti simpanan mereka sudah bertelur kecuali selepas munculnya kedua-dua anak kura-kura yang comel itu.
“Kami terkejut kerana apabila kami masuk untuk bekerja, dan kami ternampak kedua-dua anak kura-kura yang comel ini berenang dalam tangki mereka,” kata Kurator pusat itu, Graham Burrows kepada Metro UK.
Beliau percaya ibu kepada anak kura-kura itu menyembunyikan telurnya di dalam pasir di dasar tangki sehingga ia menetas.
Spesis itu merupakan yang paling jarang ditemui di dunia dan kemunculan dua ekor anak kura-kura itu menjadikan populasi kura-kura jenis itu di dalam simpanan kepada 250 ekor seluruh dunia.
Menurut Burrows, bilangan itu melebihi jumlah haiwan berkenaan dalam kehidupan liar mereka.
“Populasi spesis itu hanya terdapat di tengah sebuah pulau kecil di Pulau Roti di Indonesia dan diburu untuk dijadikan haiwan peliharaan,” katanya.
Anak kura-kura di pusat itu kini bersaiz lebih kecil dari sekeping duit syiling 50 pence.
Ia mula dilindungi dari buruan sejak tahun 2001 dan populasinya kini dilihat semakin bertambah.
Jika populasi haiwan itu kembali terancam, dua anak kura-kura baru ini boleh digunakan untuk pengenalan semula kepada dunia tentang keunikan spesis ini sekaligus memberi harapan kepada haiwan itu supaya tidak pupus.
Kedua-dua anak kura-kura yang berusia seminggu itu kini diberikan layanan istimewa dan diberikan makanan seperti cacing dan udang sebelum dipertontonkan kepada orang ramai minggu depan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan