Isnin, 3 Jun 2013

Perokok Saudi meningkat 10 juta

RIYADH, 03 Jun 2013 - Jumlah perokok di Arab Saudi dijangka meningkat daripada lima juta sekarang kepada 10 juta menjelang 2020.

 

Menurut Persatuan Diabetik dan Endokrin Wilayah Timur Saudi, andaian peningkatan itu berdasarkan kekurangan kempen kesedaran mengenai bahaya merokok di kalangan masyarakat. Ia menggesa kerajaan mengambil langkah drastik menangani perkembangan itu kerana ia memberi kesan besar kepada masalah kesihatan dan ekonomi yang berkait dengan ketagihan rokok.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam buku berjudul ‘Merokok Di Kalangan Masyarakat Saudi,’ karangan Salman Al-Omari, 37.9 peratus penduduk negara itu berkata, mereka merokok kerana terpengaruh dengan rakan sebaya;

·         12.26 peratus bermula kerana keinginan sendiri;

·         22.6 peratus dipengaruhi tabiat ibu bapa dan anggota keluarga; dan

·         16.21 peratus mula merokok untuk menunjukkan sifat lebih agresif mereka di kalangan rakan sebaya.

 

Sempena ‘Hari Tanpa Tembakau’ yang diadakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 31 Mei setiap tahun, persatuan itu menyokong mesej kempen yang menggesa pengharaman semua bentuk pengiklanan, promosi dan penajaan yang berkait dengan tembakau.

 

15 bilion rokok bernilai RM3.9 bilion dijual di Arab Saudi setiap tahun. Negara itu adalah pengimport keempat terbesar rokok dan menduduki tangga ke 23 senarai pengguna tembakau tertinggi di dunia.

 

Pengerusi Persatuan, Abdulaziz Al-Turki berkata, WHO memiliki kelengkapan terbaik untuk mengawal penggunaan tembakau.

 

“Jika kita berupaya mengawal tabiat merokok, kita dapat menangani kebanyakan penyakit kronik yang berkait dengannya, termasuk barah dan penyakit jantung,” katanya.

 

Abdulaziz juga mencadangkan supaya langkah diambil bagi memastikan pesakit diabetes berhenti merokok. - Arab News

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan