BEIJING, 13 Jun 2013 - Pembuat panel solar China mungkin bertumpu ke Afrika selepas China siap membina satu daripada stesen kuasa suria terbesar di benua itu.
Penyelaras tawaran Kerjasama Ekonomi dan Teknikal Antarabangsa, Jiangxi Corp China, berkata pembuat panel solar China akan menyediakan sebahagian besar dana untuk membina stesen kuasa suria di Garissa, Kenya.
Sebelum ini, Jiangxi Corp menandatangani projek kerjasama loji kuasa suria berharga US$140 juta di Garissa dengan pihak-pihak berkenaan di Kenya.
China Daily memetik syarikat itu sebagai berkata bahawa projek itu akan menjadi pangkalan bagi pembuat panel solar terbesar China untuk memperkukuhkan tapak di Afrika.
Stesen kuasa suria itu boleh menjana 76 juta jam kilowat tenaga elektrik setahun dan membekalkan kuasa bagi kira-kira 350,000 orang, atau separuh daripada penduduk Garissa.
Perjanjian itu ditandatangani ketika Kesatuan Eropah mengenakan tarif anti-lambakan ke atas panel solar buatan China.
Dilaporkan bahawa syarikat solar China yang dibelenggu hutang dan mengalami lebihan kapasiti, amat memerlukan pasaran alternatif, kerana pengimport terbesar mereka mungkin terpaksa mengurangkan belian disebabkan oleh duti itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan