NEW YORK, 26 Jun 2013 - Selepas dua tahun berada di kedudukan kedua, Oprah Winfrey dinamakan sebagai selebriti paling berpengaruh semalam dan mengatasi lima wanita dan empat lelaki lain dalam senarai 10 teratas majalah Forbes.
Pencapaian itu adalah yang kelima untuk bekas hos rancangan bual bicara dan pemilik sebuah saluran televisyen itu.
Penyanyi Lady Gaga berada di tempat kedua, diikuti pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Beyonce dan Madonna.
Pegawai Forbes.com, Dorothy Pomerantz berkata, tiada selebriti lain yang memiliki daya tahan dan pengaruh seperti Oprah.
“Hanya ada tiga tokoh yang sentiasa ada dalam setiap senarai kami keluarkan sejak 1999, iaitu Oprah, Howard Stern dan Spielberg.” katanya.
Penyanyi dan pelakon Jennifer Lopez yang menduduki tempat teratas tahun lalu, kini jatuh ke tempat 12. Dengan perolehan AS$77 juta (RM246.7 juta) antara Jun 2012 hingga 2013, Oprah bukan selebriti yang mendapat bayaran tertinggi kerana kedudukan itu dimiliki Madonna.
Bagaimanapun, Forbes berkata, kedudukan Oprah di Hollywood dan kemunculannya di media, televisyen dan media sosial membolehkan dia diberi penghormatan sebagai selebriti paling berpengaruh kali ini. Dorothy berkata, Oprah masih memiliki pengaruh besar seperti yang diingini penilai.
Katanya, Oprah menjadikan saluran televisyennya berjaya dengan kesungguhan, rangkaian kenalan dan kemampuannya sendiri. Lady Gaga pula memperoleh AS$80 juta (RM256.3 juta) dalam tempoh 12 bulan lalu walaupun terpaksa memendekkan siri konsert jelajahnya kerana menjalani pembedahan pangkal pinggul.
Kata Dorothy, Lady Gaga tetap mengecap populariti di kalangan peminat serta media sosial. “Lady Gaga tetap kuasa besar dalam muzik pop dan orang memperkatakannya walaupun dia tidak membuat persembahan,” katanya.
Spielberg berada di tempat ketiga dan menjadi selebriti lelaki paling berpengaruh mengatasi bintang rock Bon Jovi di tempat ketujuh, Roger Federer dan Justin Bieber. - Reuters

Tiada ulasan:
Catat Ulasan