KUALA LUMPUR, 28 Jun 2013 - Kementerian Kesihatan akan menarik balik penggantungan import ke atas 23 produk makanan keluaran beberapa syarikat dari Taiwan yang dilaporkan tercemar dengan asid maleik berkuatkuasa 1 Julai depan.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Noraini Datuk Mohd. Othman berkata, bagaimanapun pengimport masih perlu mengemukakan sijil analisis daripada makmal yang diiktiraf Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan yang mengesahkan produk berkenaan bebas daripada asid itu.
“Pihak FDA Taiwan telah mengambil tindakan menarik balik serta melupuskan semua produk makanan yang tercemar dengan asid maleik dari pasaran negara berkenaan.
“Di samping itu, semua pembekal makanan berasaskan kanji perlu mengemukakan surat akuan atau sijil analisis kepada penjual produk makanan keluaran syarikat mereka yang mengesahkan produk makanan bebas asid maleik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Kosmo!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan