Jumaat, 21 Jun 2013

Kelas bersama angkasawan China

Pelajar sebuah sekolah menengah di Beijing bertepuk tangan selepas menghadiri kelas bersama tiga angkasawan China yang dihubungkan secara langsung dari kapsul Tiangong-1. - Foto: EPA

 

BEIJING, 21 Jun 2013 - China semalam buat pertama kali mengadakan kuliah bersama angkasawan yang berada di stesen angkasa lepas sebagai sebahagian daripada usaha mempopularkan program penerbangan di kalangan belia.

 

Menurut pegawai, sewaktu sesi kuliah, angkasawan Wang Yaping yang berada di stesen angkasa prototaip Tiangong 1, kira-kira 340 kilometer daripada bumi menjawab beberapa soalan secara langsung oleh 330 pelajar sekolah rendah dan menengah di Beijing.

 

"Kelas bersama angkasawan Wang berlangsung selama 51 minit," katanya dalam laporan Al-Jazeera.

 

Sepanjang perbualan menerusi kamera video, Wang melakukan beberapa demonstrasi membabitkan prinsip asas ketiadaan graviti dan permukaan air dalam kapal.

 

Sementara itu, dua rakannya, Nei Haisheng dan Zhang Xiaoguang turut menjawab soalan mengenai cara meneruskan kehidupan dan menyesuaikan diri sewaktu bertugas di angkasa lepas.

 

China melancarkan pasukan pertamanya ke angkasa lepas pada 2003 dan Tiangong 1 dalam 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan