Khamis, 6 Jun 2013

Kapal angkasa kargo terberat Eropah dilancar ke ISS

KAPAL angkasa kargo Eropah dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 di French Guiana, awal pagi tadi.

 

KOUROU (Guyana), 6 Jun 2013 - Kapal angkasa kargo Eropah yang mencatat rekod membawa 20.2 tan muatan kini dalam perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas dilancarkan ke orbit di French Guiana, awal pagi tadi.

 

Kapal angkasa itu membawa makanan, air, oksigen dan kajian sains dan barangan khas kepada angkasawan di ISS, dilancarkan menggunakan roket Ariane 5 dari pangkalan angkasa Eropah di Kourou seperti dijadualkan tepat jam 6.52 petang waktu tempatan (21:52:11 GMT). Roket pelancar Albert Einstein terpisah sejam selepas pelancaran di kawasan berdekatan New Zealand sebelum kapal angkasa berkenaan memasuki ruang orbit pada ketinggian 260 kilometer.

 

Sejam kemudian, kapal angkasa itu menggunakan kuasa solar untuk membolehkannya meluncur ke ISS.

 

“Akhirnya ia bermula. Semuanya dalam keadaan bagus. Kami mempunyai bekalan tenaga dan semua yang kami perlukan untuk ke ISS," kata Ketua Pengarah Agensi Angkasa Eropah, Jean-Jacques Dordain mengumumkan dari pusat kawalan Kourou.

 

Kapal yang tidak mempunyai angkasawan itu dijadual tiba di ISS pada 15 Jun ini yang terletak kira-kira 400 kilometer dari bumi. Kapal itu bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan