Isnin, 3 Jun 2013

Kandungan tar dan nikotin pada rokok akan dikurangkan

PETALING JAYA, 2 Jun 2013 - Kementerian Kesihatan akan meminta syarikat-syarikat rokok di negara ini mengurangkan lagi kandungan tar serta nikotin dalam tembakau sebagai langkah menghapus tabiat merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, langkah itu serta beberapa tindakan lain akan dibuat melalui dua fasa iaitu mulai Jan 2014 dan Jun 2015.

 

"Kita akan kurangkan kandungan tar dalam sebatang rokok dari 20 miligram kepada 10 miligram dan kandungan nikotin dari 1.5 miligram kepada 1 miligram,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini hari ini.

 

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

 

Subramaniam berkata, langkah lain yang akan dibuat ialah gambar kempen anti merokok pada setiap kotak tembakau atau kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 peratus dari saiz 40 peratus sekarang.

Semua tindakan itu akan dibuat secara berperingkat dan kementerian juga akan mengambil langkah untuk menghalang promosi rokok secara langsung dan tidak langsung termasuk pengiklanan serta pemberian diskaun.

 

"Pengharaman promosi termasuk melalui penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan atau sukan walaupun tujuannya murni," kata beliau.

 

Beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia akan mengambil langkah sama seperti di beberapa buah negara termasuk Thailand dan Australia di mana rokok tidak akan dipamerkan di rak-rak khas seperti sekarang ini sebaliknya akan disimpan di dalam laci dan akan dikeluarkan apabila pelanggan datang membeli. - Bernama

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan