Jumaat, 14 Jun 2013

Jumpa @ curi: Bolehkah ambil?

S

EMASA kita berjalan-jalan, pastinya jika bukan selalu akan terserempak atau menjumpai apa sahaja barang berharga. Ada yang terus masukkan ke poket (untuk kegunaan sendiri) dan ada juga yang mencari alternatif seperti meletakkan di surau.

Segelintir daripada kita, pastinya tidak mengambil peduli akan situasi itu sedangkan setiap barangan sama ada bernyawa atau tidak ia pasti mempunyai pemilik. Ketahuilah bahawa bukan orang yang mengambil barang tanpa diketahui sahaja digelar pencuri, tetapi orang yang mengambil barangan bukan hak milik sendiri juga boleh digelar pencuri!

 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hendaklah kamu mengenal pasti pengikat bungkusan barang tersebut dan bekas barang tersebut, kemudian hendaklah kamu uar-uarkan selama setahun.

 

Sekiranya kamu tidak menjumpai tuan barang tersebut, dan hendaklah kamu simpan serta pelihara dalam jagaan kamu, dan apabila datang pemilik barang tersebut, pada bila-bila masa, hendaklah kamu menyerahkan barang itu kepadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Lumrah manusia apabila menjumpai barang yang bukan kepunyaan diri, sama ada berharga atau tidak kita akan mengambilnya. Namun, tahukah kita bahawa apa sahaja barangan yang dijumpai perlu melalui proses tertentu seperti meletakkan barangan itu di surau dan menjadikan satu sedekah kepada orang miskin.

 

Dalam bahasa Arab, keadaan berkenaan boleh didefinisikan sebagai al-Laqatah iaitu harta ataupun barang berharga yang dijumpai di tempat bukan milik individu dan ia tidak ada tanda di bawah jagaan sesiapa dan tidak diketahui siapakah yang berhak untuk barang tersebut.

 

Jumpa barang, cari pemiliknya

R

asulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.” (Riwayat Muslim).

 

Pendakwah Bebas, Ustaz Mohd Shahrizal Nasir berpendapat, barang yang ditemui semasa di perjalanan atau di mana sahaja dan ia bukan milik kita, maka statusnya kekal sebagai bukan hak milik.

 

Justeru, apa yang terbaik untuk kita lakukan ialah berusaha untuk mencari pemiliknya, jika kita berkemampuan untuk melakukannya.

 

“Kita dibenarkan menjual barangan luqatah sekiranya diyakini barang tersebut akan rosak dalam tempoh tertentu jika ia tidak dituntut.

 

“Namun, hasil jualan tersebut tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya disimpan harga bayaran barang itu dan bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ia datang menuntut.

 

Imam al-Qurtubi ada menyatakan: “Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, maka dia telah makan secara batil, katanya.

 

Menurutnya, hukum berkenaan luqatah sebenarnya berbeza-beza bergantung pada sifat atau pendirian orang yang menemuinya dan keadaan barang yang ditemui.

 

Sebagai contoh, jika seseorang yang menemui luqatah pasti bahawa dia tidak amanah dan akan melakukan perbuatan khianat terhadap luqatah tersebut, maka hukum mengambil luqatah adalah haram.

 

Sebilangan besar ulama berpendapat, sunat bagi orang yang terjumpa luqatah memungutnya jika dia percaya dirinya boleh berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.

 

Dari sini, kita faham bahawa hukum mengambil luqatah berbeza-beza mengikut keadaan. Apa yang pasti, harta milik orang lain tidak akan sewenang-wenangnya menjadi milik peribadi kita.

 

Harta karun perlu diserahkan

R

ambang mata apabila terserempak dengan banyaknya timbunan harta karun, sama ada di belantara atau di mana sahaja kawasan tersorok, pasti terdetik juga di hati untuk memiliki kesemua harta karun itu, tetapi bagi harta karun yang ditemui di dalam kawasan yang menjadi milik awam, maka ia perlu diserahkan kepada pihak berwajib.

 

Ustaz Mohd Sharizal yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, menegaskan, harta yang sifat pemilikannya diragui, mestilah diserahkan kepada pihak berwajib supaya dapat diiklankan kepada khalayak dengan lebih berkesan.

 

“Sekiranya ia tidak dituntut oleh tuan punya diri, maka ia boleh digunakan untuk kepentingan orang awam, bukan kepentingan individu tertentu.

 

“Kita perlu hayati firman ALLAH SWT yang menyentuh soal harta ini, maksudnya: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (al-Baqarah:188),” katanya.

 

Diklasifikasikan sebagai mencuri?

S

ekiranya barang yang kita temui termasuk dalam kategori barang cepat rosak seperti makanan, maka kita boleh sama ada memakannya atau menjualnya dengan syarat sekiranya ia dituntut oleh pemiliknya, maka kita wajib mengembalikannya mengikut nilai barang tersebut.

 

Sekiranya barang yang kita temui bersifat kekal seperti kereta, maka kita perlu menghebahkannya kepada awam atau jalan paling mudah menyerahkan barang tersebut kepada pihak berkuasa.

 

Berkenaan soal menggunakan barang milik orang yang kita temui, maka ia tidak boleh sama sekali dan sekiranya kita memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi maka perbuatan tersebut termasuk dalam kategori menggunakan hak orang lain tanpa kebenaran.

 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim (untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya.” (Riwayat Ahmad).

 

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati dalam menangani situasi yang melibatkan barang luqatah. Ia menguji sifat amanah dalam diri dan sifat kasih sayang sesama manusia.

 

Tatkala pemilik luqatah runsing memikirkan hartanya yang hilang, kita pula mengambil kesempatan terhadap apa berlaku.

 

Rasulullah SAW bersabda lagi yang maksudnya: “Akan sampai satu zaman di mana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperoleh hartanya, sama ada daripada yang halal atau haram.” (Riwayat Bukhari).

 

 


*Oleh SYAHIDATUL AKMA L DUNYA, Sinar Harian, 14 Jun 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan