Rabu, 19 Jun 2013

Faktor manusia punca kemalangan di Lebuhraya Plus

BUTTERWORTH, 18 Jun 2013 - Faktor kemanusiaan dikenal pasti sebagai punca utama berlaku kemalangan yang membabitkan kenderaan berat seperti lori dan bas di Lebuhraya Utara-Selatan.

  

Menurut Pengurus Wilayah, Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (Plus) Mohamad Pazli Kasim, sebanyak 9,059 kemalangan, 353 daripadanya kemalangan maut telah direkodkan tahun lepas.

  

Katanya, sebanyak 1,690 kemalangan melibatkan lori dan 218 kemalangan melibatkan bas yang berlaku dalam tempoh yang sama di Lebuhraya Utara-Selatan.

"Menurut rekod kami, 83 peratus kemalangan yang melibatkan kenderaan berat tahun lepas berpunca daripada faktor kemanusiaan yang berkait rapat dengan sikap dan tabiat pemandu kenderaan berat itu sendiri.

  

"Ini diikuti dengan faktor mekanikal atau masalah kenderaan sebanyak 14 peratus dan faktor alam sekitar sebanyak tiga peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar "Hormati Had Anda" di sini hari ini.

 

Katanya, tabiat memandu dan sikap pemandu lori dan bas seperti memandu terlalu laju, mengantuk, letih dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik semata-mata untuk mengejar "trip" dan keuntungan adalah punca utama berlakunya kemalangan di lebuhraya.

  

Mohamad Pazli berkata secara keseluruhan dari Januari hingga April tahun ini, sebanyak 3,091 kemalangan telah direkodkan dengan sebanyak 128 kemalangan maut.

  

Daripada jumlah kemalangan tahun ini, kemalangan lori telah membawa kepada 48 kematian manakala kemalangan maut melibatkan bus sebanyak lapan, katanya.

  

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia, Sa'adan Man berkata gaji pokok yang kurang dan tiada elaun tambahan telah menjadi punca pemandu-pemandu bas terpaksa mengejar "trip" mereka untuk mendapat gaji lebih.

  

Katanya, bukan semua pengusaha bas di negara ini yang memberikan gaji pokok dan ada di antara mereka yang hanya bergantung kepada perjalanan (trip) sahaja untuk mendapat gaji.

"Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memberikan sedikit elaun sara hidup tambahan kepada pemandu-pemandu bas," katanya.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan