Isnin, 27 Mei 2013

Wabak campak kembali serang Britain

Seorang ibu membawa bayinya ke hospital di timur London untuk mendapatkan suntikan mencegah penyakit campak.

 

LONDON, 26 Mei 2013 - Lebih sedekad lalu, ibu bapa di Britain enggan memberikan suntikan campak kepada sekurang-kurangnya sejuta kanak-kanak kerana kebimbangan vaksin yang meningkatkan risiko autisme. Kini, pegawai kesihatan bertungkus lumus berusaha menghentikan wabak penyakit berjangkit yang semakin tersebar itu.

 

Tahun ini, Britain mencatatkan lebih 1,200 kes campak, selepas jumlah tertinggi hampir 2,000 kes tahun lalu. Negara berkenaan pernah mencatatkan cuma beberapa puluh kes saja setiap tahun. Ia kini berada di tangga kedua di Eropah, selepas Romania.

 

Vaksin setiap minggu

B

ulan lalu, klinik vaksin kecemasan diadakan setiap minggu di Wales yang juga pusat penyebaran wabak. Usaha imunisasi juga bermula di merata tempat di negara itu, dengan pegawai menyasarkan untuk mencapai sejuta kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun.

 

Ini adalah legasi ketakutan Wakefield,” kata jurucakap Kolej Diraja Paediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr David Elliman, merujuk kepada kajian yang disiarkan pada 1998 oleh Andrew Wakefield dan rakannya.

 

12 kumpulan tolak teori

K

ajian menyatakan kaitan antara austisme dan vaksin gabungan ketika kanak-kanak untuk campak, beguk dan rubella atau MMR. Beberapa kajian saintifik gagal menemui kaitan itu, teori berkenaan ditolak oleh sekurang-kurangnya 12 kumpulan perubatan terbesar United Kingdom dan kertas kajian akhirnya ditarik balik oleh jurnal yang menyiarkannya.

 

Namun, kadar imunisasi MMR masih merosot di seluruh United Kingdom kerana ibu bapa yang bimbang tidak membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin itu daripada kadar lebih 90 peratus kepada 54 peratus.

 

Hampir 15 tahun kemudian, khabar angin mengenai MMR masih mempunyai kesan.

 

"Kini, ada sekumpulan kanak-kanak lebih besar yang tidak pernah mendapat suntikan imunisasi membentuk kolam jangkitan besar", kata Elliman.

 

Majoriti mereka yang jatuh sakit di United Kingdom - termasuk sebilangan besar kanak-kanak dan remaja - tidak pernah mendapat vaksin. Hampir 20 daripada lebih 100 kanak-kanak yang sakit teruk dimasukkan ke hospital dan 15 menderita komplikasi termasuk radang paru-paru dan meningitis. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan