Khamis, 23 Mei 2013

Nak elak barah? Makan TOMATO!

BAIK UNTUK JANTUNG: Tidak kira apa jua jenis dan bentuk tomato (bulat jenis biasa, bujur jenis plum atau kecil jenis ceri) ia dikatakan baik untuk kesihatan jantung.

Nama biasa: tomato, terung masam

Nama botani: lycopersicum esculentum

Famili: SOLANACEAE

Asal: Banjaran Gunung Andes di Amerika Selatan

 

A

NTARA sayur yang popular di dunia, tomato sebenarnya jenis buah. Ia dimakan mentah, dimasak, dijemur kering dan ditinkan serta digunakan untuk menghasilkan jus, sup, sos, cutni, puri dan pes. Buah ini mengandungi potasium; vitamin A, C dan E; serta serat dan merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan pigmen antioksidan iaitu likopena (lycopene).

 

Tomato mula ditanam di Mexico oleh kaum Aztec dan buah yang berwarna kuning dibawa pulang ke Sepanyol pada abad ke-16 oleh penakluk Sepanyol yang berjaya menawan Mexico dan Peru.

 

Sepanyol merupakan negara dunia pertama menggunakan tomato dalam masakan, diikuti oleh Italy. Hari ini, bersama bawang besar, tomato merupakan bahan segar paling mustahak di dapur dan dalam masakan Mediterranean ia menjadi ramuan yang sangat perlu.

 

Terdapat lebih 7,000 jenis tomato dalam pelbagai bentuk dan rupa serta warna - merah terang, kuning, jingga dan hijau - daripada tomato bifstik berukuran 10 cm hingga tomato bulat biasa dan tomato ceri serta tomato plum yang kurang berair.

 

Secara tradisional, tomato - yang mengandungi klorin semula jadi - digunakan dalam perubatan Timur untuk membersihkan hati. Ia dikatakan mempunyai sifat 'menyejukkan' dan gabungan sifat ini dengan perisa manis masamnya dipercayai merembes cecair 'yin' dalam badan yang melegakan kekeringan dan dahaga.

 

Tomato juga digunakan sebagai tonik untuk perut dan penghadaman, dan ia dikatakan mengalkalikan darah dan membantu merawat reumatisme dan pirai/gout. Tuam daripada daun tomato liar pula digunakan bagi menyembuhkan luka dan kudis.

 

Beberapa kajian mendapati likopena iaitu bioflavonoid yang berkait rapat dengan beta-karotena, yang terdapat dalam tomato merupakan agen semula jadi melawan barah.

 

Likopena, yang memberi tomato warna merah terang, dikatakan memberi perlindungan daripada kanser prostat.

 

Ia salah satu karotenoid yang paling berkesan dalam membersihkan radikal bebas penyebab kanser lain termasuk kanser mulut, esofagus, perut, farinks, kolon, rektum dan servik.

 

Likopena juga dikatakan menghalang radikal bebas yang merosakkan sendi, otot, malah sel otak. Kandungan potasium dalam tomato dipercayai dapat mengurangkan tekanan darah - faktor risiko besar bagi penyakit jantung dan angin ahmar.

 

Vitamin A pula memperbaiki penglihatan, menghalang rabun malam dan degenarasi otot.

 

Gula semula jadi dalam tomato membantu orang yang mempunyai aras gula darah rendah - hipoglisemik - mengembalikan tenaga, terutamanya kandungan glukos dan fruktos yang tinggi dalam tomato ranum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan