Isnin, 27 Mei 2013

Kes kematian kanser rahim di Malaysia rendah

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2013 - Malaysia adalah antara negara yang mencatat jumlah terendah kes kematian membabitkan kanser pangkal rahim dengan purata 600 kes setahun, demikian menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

 

Laporan itu melibatkan 50 negara dan India adalah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu 72,000 manakala Malaysia di tangga ke-43 dan merupakan negara Asia kedua terendah selepas Australia (241 kes).

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Maimunah Abdul Hamid berkata Malaysia adalah antara negara terawal yang memperkenalkan vaksin 'human papillomavirus' (HPV) kepada pelajar sekolah bermula umur 13 tahun bagi mencegah kanser tersebut.

 

"Sekarang 95 peratus daripada anak-anak sekolah telah dapat imunisasi dan kita akan cuba untuk meluaskan lagi kepada pelajar kolej. Kita juga bekerjasama dengan pelbagai kementerian terutama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk program pencegahan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Forum Global Langkah Pencegahan Kanser Pangkal Rahim di sini hari ini.

 

Dr Maimunah menjelaskan di Malaysia terdapat senario "takut membuat pemeriksaan 'pap smear' kerana bimbang menghidap penyakit kanser", namun menurutnya, penyakit itu boleh dicegah dan dirawat dengan menggunakan vaksin sedia ada.

 

Beliau turut menyarankan wanita yang berumur 20 tahun ke atas  membuat ujian pap smear pangkal rahim setiap tiga tahun.

 

Forum yang dianjurkan oleh 30 rakan kongsi antarabangsa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia diadakan selama empat hari bermula hari ini dan dijangka membincangkan isu-isu berkaitan kanser pangkal rahim bagi meningkatkan kefahaman dalam kalangan negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Cara itu diharap dapat menggalakkan negara terbabit  memberi komitmen yang lebih tinggi dalam menyediakan perkhidmatan untuk mengesan kanser lebih awal serta memberi imunisasi kanser kepada rakyat. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan