Rabu, 6 Mac 2013

JKJR: Remaja paling berisiko terlibat kemalangan motosikal

KUALA LUMPUR, 6 Mar. 2013 - Remaja antara golongan paling berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana kurangnya kemahiran daripada segi teori dan praktikal dalam mengendalikan motosikal.

 

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah berkata, menurut kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 60 peratus kes kematian yang dicatatkan setiap tahun adalah melibatkan golongan muda atau yang gemar bermotosikal.

 

"Kebanyakan penunggang motosikal yang terdiri daripada golongan remaja didapati kurang mahir dalam mengendalikan motosikal kerana di antara mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah serta tidak pernah menjalani latihan pemanduan atau penunggangan dengan betul di bawah penyeliaan pengajar di institut memandu," katanya dalam ucapan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini.

Beliau menyeru agar golongan remaja merebut peluang dengan mendaftar di bawah program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang ditawarkan kerajaan dalam membantu dan memastikan golongan muda mendapat pendidikan serta pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dengan baik.

 

"Secara tidak langsung bila mereka telah pun diasuh dan diajar dengan ilmu keselamatan jalan dengan bersistematik, jadi saya percaya kes-kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan," katanya.

 

Tam juga berkata selain faktor manusia dan sikap, punca utama kematian bagi penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala.

 

"Topi keledar yang dipakai harus mempunyai piawaian SIRIM dan harus diikat dengan sempurna kerana terdapat banyak kes-kes kemalangan menunjukkan topi keledar tidak diikat dengan sempurna akan tercabut semasa berlakunya kemalangan dan membawa kepada kecederaan parah di kepala serta menyebabkan maut," katanya.

 

Beliau meminta ibu bapa memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan memantau dan sentiasa menasihati anak-anak serta golongan muda agar tidak mengabaikan pemakaian topi keledar walaupun untuk jarak perjalanan yang dekat.

 

Sementara itu, Pengetua Kolej TAR, Datuk Dr Tan Chik Heok berkata menurut Organisasi Kesihatan Sedunia, setiap hari lebih daripada 1,000 orang muda di bawah umur 25 tahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh dunia.

 

"Kecederaan jalan raya antara punca utama kematian di seluruh dunia yang melibatkan mereka yang berusia 15 hingga 19 tahun, manakala bagi yang berusia 10 hingga 14 tahun dan kumpulan umur 20 hingga 24 tahun, mereka adalah punca kedua utama kematian," katanya.

 

Katanya "dengan angka-angka yang membimbangkan, ia penting untuk menyebarkan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya untuk memberitahu kepada golongan muda supaya berhati-hati di jalan raya." - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan